PENINGKATAN peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kedah daripada RM7.7 bilion pada 2022 kepada RM9.8 bilion pada 2026 perlu diterjemahkan kepada hasil pembangunan yang mampu meningkatkan produktiviti ekonomi dan taraf hidup rakyat.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, tambahan RM2.1 bilion atau sekitar 27 peratus itu memberi ruang lebih besar untuk menambah baik kemudahan awam serta menyokong kegiatan ekonomi negeri.

Bagaimanapun, katanya, kesan sebenar peningkatan peruntukan tersebut bergantung pada jenis perbelanjaan dan keberkesanan pelaksanaan projek.
“Bekalan air yang lebih terjamin dapat menyokong pertanian, industri dan keperluan isi rumah, manakala projek Rancangan Tebatan Banjir boleh mengurangkan kerugian penduduk dan perniagaan.
“Jika dilaksanakan dengan berkesan, peruntukan ini dapat meningkatkan pengeluaran dan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri,” katanya kepada utusanmelayuplus.
Mohd Iqbal berkata, manfaat peruntukan berkenaan perlu dinilai berdasarkan beberapa petunjuk termasuk pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan gaji serta perkembangan teknologi dalam perniagaan tempatan.
Menurutnya, kadar pengangguran yang menurun sahaja tidak mencukupi untuk menggambarkan kesejahteraan pekerja sekiranya pendapatan yang diterima masih rendah.
Beliau berkata, kadar pengangguran Kedah menurun daripada 3.9 peratus pada 2021 kepada 2.5 peratus pada suku kedua 2026.
Namun, gaji median Kedah pada 2025 ialah RM2,255, iaitu 23.3 peratus lebih rendah berbanding median nasional sebanyak RM2,940.
“Negeri perlu menilai mutu pekerjaan dan sejauh mana peningkatan produktiviti serta keuntungan syarikat diterjemahkan kepada gaji yang lebih baik,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan menghalang Kedah daripada membangun dan menjadi negeri kaya, Mohd Iqbal berkata, peningkatan peruntukan itu menunjukkan wujudnya sokongan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Dakwaan berkenaan perlu diperincikan dengan menjelaskan bentuk halangan yang dimaksudkan, sebab sesuatu keputusan dibuat serta pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, dakwaan itu juga perlu dinilai berdasarkan rekod permohonan, keputusan dan pelaksanaan yang boleh disemak secara telus.
Beliau berkata, prestasi kerajaan negeri turut bergantung pada keupayaan menyusun keutamaan, menyelaras kelulusan dan memastikan pelaksanaan projek mampu menyokong kegiatan ekonomi.
Katanya, pembangunan perlu disertai latihan tenaga kerja serta peningkatan keupayaan pembekal tempatan supaya penduduk dan pengusaha setempat turut mendapat manfaat daripada peluang yang diwujudkan.
“Ukuran kejayaan ialah projek yang berfungsi, perniagaan yang berkembang dan pendapatan rakyat yang bertambah,” katanya.





