KERAJAAN Negeri Kedah tidak akan melakukan sebarang rombakan bagi jawatan Exco walaupun kerjasama politik antara Pas dan Bersatu berakhir semalam.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dikekalkan selagi mereka menyokong pentadbiran kerajaan negeri.
“Semua exco kekal, tiada perubahan selama mereka (Exco Bersatu) berpendirian menyokong kerajaan (Kedah),” katanya kepada FMT.
Tiga wakil Bersatu iu ialah Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) Adun Kubang Rotan Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan) dan Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti).
Pada PRN lalu, Perikatan Nasional (PN) memenangi 33 daripada 36 DUN di Kedah, dengan Pas memenangi 21 kerusi, Bersatu (11) dan Gerakan (1).
Berdasarkan kedudukan semasa walaupun tanpa sokongan Bersatu, Pas mampu membentuk kerajaan sendiri di Kedah apabila mempunyai kelebihan 21 ADUN.
DI KELANTAN, ADUN Ayer Lanas Datuk Kamarudin Md Nor daripada Bersatu menyerahkan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud menentukan kedudukan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Kelantan berkata, setakat ini beliau akan menjalankan tugas sebagai exco seperti biasa sehingga ada keputusan baharu dibuat oleh Nassuruddin dan kepimpinan Bersatu.
“Soal kedudukan saya (exco) terserah menteri besar sebagai ketua kerajaan dan keputusan pimpinan parti Bersatu,” kata yang merupakan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan.
Kamarudin berkata, sehingga kini semua ADUN Bersatu di Kelantan juga kekal menyokong pentadbiran kerajaan negeri.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Fadzli Hassan, berkata Kamarudin dan ADUN Kok Lanas, Farid Mohamed Zawawi yang juga Timbalan Speaker DUN kekal menjalankan tugas seperti biasa.
Fadzli berkata, keputusan diumumkan Pas malam tadi adalah urusan parti dan buat masa ini perlu dibezakan daripada pentadbiran kerajaan negeri.






