![]()
APAKAH laluan mudah atau sukar untuk Datuk Seri Ab. Rauf Jusoh? Pertanyaan ini mungkin berlegar dalam fikiran ramai orang memandangkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berhadapan pertandingan satu lawan satu dengan Calon Pakatan Harapan (PH) Yunazri Mustamiri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tersebut pada 14 November ini.
Ab Rauf menyerahkan borang pencalonan di Kompleks Japerun Tanjung Bidara hari ini dengan misi mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi oleh beliau pada 2021 dengan majoriti tipis 364 undi selepas mendapat 3,559 undi.
Ketika itu beliau dicabar oleh calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang memberi saingan sengit apabila memperoleh 3,195 undi manakala Calon PH Zainal Hassan mendapat 489 undi.
Bagaimanapun dalam PRN kali ini pencalonan Ab Rauf yang diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya DUN Tanjung Bidara, Saifuddin Abdul Karim menimbul persoalan adakah penyokong PN atau Bersatu akan memberi undi mereka kepada Ketua Menteri Melaka itu.
Ia memandangkan PN dan Bersatu sudah tidak sehaluan lagi. Bersatu tidak bertanding di Tanjong Bidara manakala PN yang terdiri daripada Pas, Wawasan,Gerakan dan Pejuang memberi laluan kepada BN sehingga membolehkan pertandingan satu lawan satu berlaku.
Kekalahan teruk Calon PH pada 2021 membuktikan bahawa gabungan itu tidak mempunyai sokongan di DUN tersebut tetapi adakah penyokong Bersatu akan memberi undi kepada Yunazri? Bagaimana dengan PN khususnya penyokong Pas adakah mereka akan beri undi kepada Ab.Rauf atas semangat kerjasama politik yang termeterai antara BN dan PN?
Oleh itu Ab.Rauf yang datang pusat penamaan calon dengan diiringi Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi perlu memastikan bukan sahaja jumlah undi beliau pada 2021 dikekalkan tetapi juga menentukan undi penyokong PN berpindah kepada beliau.
Kalau tidak berpindah, Ab.Rauf mesti memastikan jumlah undi beliau pada 2021 iaitu 3,559 undi dipertahankan, selain menambah undi daripada pengundi baru. Ia bagi mengelakkan beliau menempah kekalahan. DUN Tajnjong Bidara menyaksikan penambahan jumlah pengundi berdaftar dari 10,133 pengundi kepada 15,003 pengundi – penambahan 4,870 pengundi. Soalnya siapakah pilihan mereka?
Kita tunggu sahaja 14 November hari yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai hari pengundian PRN Melaka. Pengundian awal berlangsung 10 November.
Seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis.





