SEORANG pengarah dan bekas pengarah syarikat pengendali rangkaian kafe Choco Loco dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan istilah francais dalam perjanjian perniagaan tanpa mendapat kelulusan Pendaftar Francais.
Kedua-dua tertuduh, Syaidatul Natasha Suhaimi, 36, selaku pengarah Choco Loco (M) Sdn Bhd dan bekas pengarahnya, Hadi Asasa, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu menerusi dua perjanjian bersama Chocolate Cravings Sdn Bhd dan Choco Rush Global Trading Sdn Bhd, masing-masing pada 1 April 2021 dan 1 Jun 2021 di Solaris Dutamas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 37A Akta Francais 1998 itu berkaitan penggunaan istilah francais tanpa kelulusan pendaftaran seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 8 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, lapor FMT.
Selain kedua-dua individu berkenaan, syarikat Choco Loco (M) Sdn Bhd turut berdepan dua pertuduhan berkaitan kesalahan sama mengikut Seksyen 37A(a) Akta Francais 1998.
Syarikat itu boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 bagi setiap kesalahan berikutnya jika disabitkan kesalahan.
Syaidatul turut membuat pengakuan tidak bersalah bagi pihak syarikat terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin bersama berjumlah RM16,000 bagi keseluruhan pertuduhan.
Peguam Kausar Khairi mewakili kedua-dua tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Sallim Wahid.





