PEMIMPIN politik diingatkan supaya menjaga adab serta tidak menggunakan sebarang istilah yang ekstrem semata-mata kerana berbeza pandangan terhadap agenda reformasi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata terdapat banyak istilah lain yang lebih wajar dan bersesuaian untuk digunakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati tanpa perlu melampaui batas agama.
“Pada pandangan saya, memanggil seseorang itu kafir pun tidak dibenarkan dalam Islam. Jadi, jika beliau melabelkan (pihak lain) sebagai dajal, beliau sendiri perlu memberikan penjelasannya. Saya tidak boleh mengulas lanjut, tetapi ada banyak lagi perkataan lain yang boleh digunakan jika tidak bersetuju dan janganlah sampai tahap ekstrem,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan menyamakan cadangan pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) seperti “pendekatan dajal”.
Semalam, Abdul Hadi menerusi hantaran dalam media sosial menyifatkan CSA adalah pendekatan dajal pada akhir zaman, yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa.
Pada 29 Okt, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh Ahli Parlimen lain, termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Selain komitmen untuk menyokong kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027), CSA itu turut menetapkan sokongan terhadap agenda reformasi institusi yang ingin dibentangkan kerajaan.
Ia termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum dua penggal serta pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.
Sementara itu, parti politik diingatkan agar tidak memperalat sentimen agama sebagai senjata bagi mempertikaikan strategi lawan susulan kenyataan mengaitkan instrumen demokrasi berparlimen dengan watak akhir zaman, kata Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Mustapha Sakmud.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Abdul Hadi Awang tersebut, sambil menegaskan label seumpama itu amat asing serta boleh mengelirukan umat Islam di Negeri Di Bawah Bayu.
“Apakah apabila hujah politik tidak lagi mencukupi, istilah akhir zaman pula perlu dijadikan senjata? CSA boleh dibahaskan secara rasional dalam kerangka demokrasi berparlimen tanpa perlu mengheret sentimen agama untuk memburukkan pihak yang berbeza pandangan,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata pendekatan CSA juga pernah dilaksanakan ketika Pas berada dalam barisan Kerajaan Persekutuan sekali gus mempersoalkan kewajaran melabel instrumen itu secara negatif.
Mustapha berkata kepelbagaian agama, bangsa serta latar belakang budaya sekian lama menjadi tonggak utama yang menyatukan masyarakat majmuk di Sabah, dan bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan.
“Bagi rakyat Sabah, budaya melabel sesama Muslim dengan gambaran seburuk itu hanya kerana berbeza pendirian politik amat janggal dan sukar diterima. Agama sepatutnya menyatukan, bukan memecah-belahkan, dan Sabah tidak perlu diajar tentang perpaduan oleh mereka yang masih gemar melabel sesama sendiri,” katanya.
Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Langkawai daripada Bersatu, Datuk Suhaimi Abdullah menyifatkan gelaran ‘dajal’ terhadap tujuh wakil rakyat pembangkang yang menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan sebagai tuduhan berat.
Katanya, label sedemikian menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan pihak tertentu dalam memperjuangkan perpaduan nasional.
Beliau berkata, usaha mencapai persefahaman demi kepentingan rakyat sukar direalisasikan jika Ahli Parlimen yang mengambil pendekatan bekerjasama turut dilabel ‘dajal’.
“Macam mana nak wujudkan perpaduan nasional jika kami (Ahli Parlimen pembangkang) yang menandatangani perjanjian (CSA) dipanggil dajal? Ini amat menyedihkan.
“Semalam, apabila saya pulang, anak-anak bertanya mengenai dajal. Saya kata Wallahu a’lam, saya sedang mengkaji apa maksud dajal,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan.





