SEORANG kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan 30 rumah di Kampung Sentosa Blok 4, Hilltop, Jalan Utara di Tawau awal pagi tadi.
Mangsa, Jackson Zack, 12, ditemukan pasukan bomba dan penyelamat di bahagian bilik tidur rumahnya kira-kira jam 10 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.44 pagi sebelum jentera tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran pada peringkat awal membabitkan enam rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal, namun api merebak dengan pantas sehingga memusnahkan 24 rumah lagi.
“Operasi pemadaman dimulakan sejurus pasukan tiba di lokasi dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 8 pagi.
“Sebanyak 250 rumah berhampiran berjaya diselamatkan, manakala sebuah Perodua Kancil turut musnah dalam kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, keseluruhan kawasan yang terbakar dianggarkan seluas 7,124.84 meter persegi dengan kesemua 30 rumah terbabit musnah sepenuhnya.
Operasi pemadaman itu membabitkan 42 anggota BBP Tawau dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), KKM, Jabatan Air Negeri Sabah serta Bomba Komuniti Kampung Titingan.
Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi.





