DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menjelaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah merujuk kepada Peguam Negara apabila arahan pembebasan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang dipanggil order of discharge, mewujudkan satu tafsiran yang sedikit berbeza dari segi undang-undang.
Menteri Dalam Negeri berkata, rujukan yang dibuat selepas pihak Najib selesai melakukan pembayaran denda sebanyak RM50 juta itu dilakukan kerana KDN mahu kejelasan dari segi pelaksanaannya.
“Kami tertakluk kepada nasihat perundangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan. Terdapat satu pandangan undang-undang yang telah diberikan oleh Peguam Negara, dan kemudian terdapat respons balas daripada peguam Datuk Seri Najib.
“Kalau ada perbezaan begitu, seperti mana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik harus dibuat di mahkamah,” katanya kepada media di Kulim.
Beliau berkata, kedudukan KDN termasuk Jabatan Penjara adalah sangat jelas, iaitu melaksanakan apa sahaja keputusan mengikut acuan dan tertib perundangan.
Menurut beliau, bekas Perdana Menteri itu berhak untuk mengemukakan permohonan pengampunan kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa tersebut adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Bahagian kami adalah melaksanakannya sesuai dengan acuan dan tertib perundangan,” katanya.





