PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dicadangkan memecat menteri tidak sehaluan dengan beliau kerana mereka akan menggagalkan segala dasar kerajaan.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah patut dipertimbangkan memandangkan perbalahan terbuka antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dengan Anwar, yang boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan dasar.
“Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya dah pecat mereka. Saya rombak Kabinet dan tentukan supaya mereka yang tidak sehaluan dengan saya ini tidak boleh duduk di situ, malah tidak boleh bersama dalam kerajaan.
“Sebab mereka akan menggagalkan segala dasar kerajaan. Mungkin tujuan itulah yang mereka lakukan supaya kerajaan yang dipimpin Anwar akan tumbang,” katanya menurut Sinar Harian ketika membantu kempen calon Bersatu di Pengkalan Batu.
Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, pendirian BN semakin menimbulkan kekeliruan memandangkan parti itu masih mempunyai wakil dalam kerajaan termasuk timbalan perdana menteri, menteri, dan timbalan menteri.
Katanya, sebagai anggota kerajaan, sebarang ketidakpuasan hati terhadap dasar atau keputusan pentadbiran sepatutnya diselesaikan menerusi perbincangan di peringkat parti atau Kabinet, bukannya diluahkan secara terbuka.
“Prinsipnya, kalau kita menjadi anggota dalam sebuah kerajaan, kita tidak mengecam kerajaan sendiri atau parti yang ada dalam kerajaan. Itu prinsip biasa.
“Apa-apa isu yang tidak dipersetujui, bawa berbincang di peringkat parti atau Kabinet, bukan diluahkan di luar sehingga menunjukkan bukan sahaja berlaku keretakan, malah seolah-olah kerajaan perpaduan sudah mahu pecah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan, yang tidak lagi sehaluan dengan kerajaan atau tidak mampu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar mengundurkan diri secara sukarela dan bukannya menunggu sehingga dipecat.
berkata, tindakan itu lebih mencerminkan prinsip dan pendirian seseorang pemimpin berbanding terus berada dalam Kabinet, tetapi pada masa sama bertindak memburukkan kerajaan.
Katanya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik terus terpelihara bagi menjamin kestabilan ekonomi negara.
“Mana-mana menteri daripada mana-mana blok yang tidak lagi sehaluan atau tidak mampu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, maka mereka sewajarnya mengundurkan diri.
“Tidak perlu menunggu sehingga dipecat. Kalau tidak boleh bersabar atau tidak mahu lagi bersama kerajaan, mereka boleh keluar pada bila-bila masa. Tiada masalah,” katanya ketika membantu kempen calon PH DUN Kuala Linggi, Mukhlis Mubin, di Melaka hari ini, lapor Sina Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyarankan Anwar menggugurkan menteri daripada UMNO susulan peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyifatkan tindakan pemimpin yang bersama kerajaan tetapi pada masa sama mengkritik kepimpinannya sebagai tidak berprinsip.
“Siang hari bercakap lain, malam pula menikam belakang dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan. Orang seperti ini tidak mempunyai prinsip, maruah, harga diri dan jati diri serta pendirian politik yang jelas,” katanya.





