BEBERAPA kawasan perumahan di Seberang Perai Tengah dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan yang melanda daerah itu sejak lewat petang tadi.
Antara kawasan terjejas adalah Seberang Jaya, Permatang Rawa, Tanah Liat, Mengkuang Titi dan Jalan Baharu.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan, pasukan tindak balas digerakkan sejurus hujan lebat bermula kira-kira jam 4.30 petang.
Menurut kenyataan itu, wakil komuniti turut diaktifkan bagi memantau situasi di lapangan sebelum pihak berkuasa menerima laporan kejadian limpahan air longkang, pokok tumbang dan air memasuki beberapa kediaman di Seberang Jaya pada jam 6.15 petang.
“Wakil komuniti diaktifkan bagi memantau keadaan di lapangan dan pada jam 6.15 petang kami menerima laporan limpahan air longkang serta kejadian pokok tumbang di Seberang Jaya, selain air memasuki beberapa rumah.
“Bagaimanapun, keadaan masih terkawal,” menurut kenyataan itu.
Situasi turut dipantau di Mengkuang Titi apabila pihak berkuasa mengesan peningkatan paras air di kawasan berkenaan pada jam 7.30 malam.
Sehubungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan pemindahan penduduk sekiranya keadaan bertambah buruk.
Bagaimanapun, APM memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga jam 8 malam.





