KEJAYAAN pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambung semula pergelangan tangan kanan seorang anggota polis yang terputus akibat serangan pada Rabu lalu mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan kejayaan prosedur pembedahan kompleks itu sebagai pencapaian membanggakan yang mencerminkan kepakaran serta kemahiran tinggi warga perubatan negara.
“Kepada seluruh warga kerja di HKL, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan menyambung semula anggota badan tersebut.
“Saya ucap tahniah kepada mereka dan doakan mudah-mudahan pekerjaan itu dan hasilnya akan baik, insya-Allah,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.
Semalam, pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL berjaya melaksanakan prosedur berkenaan yang diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain.
Pembedahan selama lapan jam itu menggunakan mikroskop pembedahan serta memerlukan tahap ketelitian dan kepakaran tinggi bagi menyambung semula pergelangan tangan mangsa.
Kejayaan itu susulan kejadian seorang anggota polis kehilangan pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, Kepong, kelmarin.
Mengulas insiden berkenaan, Anwar menegaskan kerajaan memberikan sokongan penuh kepada polis dan pasukan keselamatan untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kegiatan jenayah.
“Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tadi, saya menegaskan bahawa kita memberikan sokongan penuh kepada jentera dan pasukan keselamatan untuk bertindak tegas.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan jenayah, dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” tegas Perdana Menteri.





