PROSES menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Kuala Lumpur berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah sedang diatur dengan mengambil kira keperluan perundangan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, namun kerajaan sudah mendapatkan nasihat Peguam Negara berhubung proses berkenaan.
Beliau berkata, hasrat untuk menyahklasifikasikan dokumen itu tetap ada, tetapi pelaksanaannya perlu melalui prosedur serta proses perundangan yang ditetapkan.
“Memang proses itu saya difahamkan sedang diatur, mengambil kira beberapa aspek perundangan yang perlu dipatuhi.
“Jemaah Menteri dinasihatkan oleh Peguam Negara dalam hal ini. Tapi memang hasrat itu ada dan akan melalui proses yang wajib,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan mencadangkan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Kuala Lumpur yang memutuskan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah dinyahklasifikasikan.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dan sekiranya dipersetujui, pendedahan dokumen berkenaan dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai proses serta asas keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
Cadangan berkenaan dikemukakan susulan idea Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan keputusan itu didedahkan kepada umum.





