PM tegaskan hak semua kaum perlu dipertahankan

HAK semua rakyat tanpa mengira kaum perlu dipertahankan bagi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan menikmati keadilan secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip itu perlu berjalan seiring dengan usaha mempertahankan kedudukan bahasa Melayu, agama Islam serta hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau tidak akan menggadaikan prinsip berkenaan semata-mata untuk menyesuaikan dasar kerajaan dengan tuntutan politik pihak tertentu.

“Saya mahu pertahankan prinsip-prinsip negara kita. Perlembagaan kita.

“Tidak ada siapa yang harus pertikai kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu. Tetapi kita mesti ingat, untuk negara ini selamat, kita mesti jamin keadilan, kejayaan, kebahagiaan semua kaum, setiap rakyat di negara kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields, Kuala Lumpur hari ini, lapor Buletin TV3.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Anwar berkata, Malaysia mempunyai kekuatan dan kekayaan yang sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk memakmurkan kehidupan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang kaum.

Katanya, usaha meningkatkan keupayaan rakyat perlu dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan kemiskinan bukan hanya membabitkan satu kaum, sebaliknya turut berlaku dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan terdapat pihak tertentu yang menggunakan isu kaum untuk mengalihkan perhatian daripada persoalan penipuan dan rasuah.

Malah, katanya, ada tokoh yang sering membangkitkan kepentingan kelangsungan sesuatu kaum, namun pada masa sama didakwa menggunakan perjuangan itu untuk mengkayakan diri dan keluarga.

“Jadi dia bincang survival kepentingan kaum, dia padam isu penipuan dan rasuah. Dia bangkitkan isu kaum. Dalam masa yang sama dia perkayakan.

“Lihat tokoh-tokoh yang bicara soal survival kaum. Mereka itu antara yang paling kaya dalam kalangan kita. Perjuangan itu perjuangan untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.

Mengulas keperluan masyarakat India, Perdana Menteri mengakui masih terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dan ditambah baik, khususnya dalam bidang pendidikan termasuk bahasa Tamil dan sekolah Tamil.

Beliau turut menyentuh isu berkaitan kuil Hindu, peniaga India serta kesusahan masyarakat India berpendapatan rendah di kawasan bandar dan estet.

Anwar berkata, semangat Deepavali yang membawa nilai keadilan, kemanusiaan dan saling menghormati perlu terus menjadi asas hubungan masyarakat berbilang kaum.

Katanya, rakyat perlu menghargai antara satu sama lain meskipun mempunyai perbezaan agama, budaya, bahasa dan keturunan bagi memastikan Malaysia terus maju dan berjaya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here