TIDAK RASMI: Setiausaha Politik PM tewas di DUN Paya Rumput

CALON Perikatan Nasional (PN), Rafie Ahmad mencipta kejutan apabila menewaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, malam ini.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Rafie yang mewakili Pas memperoleh lebih 17,558 undi, berbanding Azman daripada Pakatan Harapan (PH) yang meraih lebih 10,796 undi, sekali gus mencatatkan majoriti melebihi 6,762 undi.

Keputusan itu menamatkan percubaan pertama Azman yang juga Ketua PKR Wilayah Persekutuan untuk bertanding dalam pilihan raya, meskipun menerima sokongan terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut turun berkempen di kawasan berkenaan sepanjang minggu lalu.

Kerusi DUN Paya Rumput menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Rafie, Azman dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Pada PRN 2021, kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN) menerusi Datuk Rais Yasin dengan majoriti 629 undi.

Bagaimanapun, pada PRN kali ini, kerusi berkenaan diserahkan kepada PN menerusi kerjasama Muafakat Melaka antara BN dan PN, manakala Rais pula bertanding di DUN Sungai Udang.

Kemenangan Rafie turut menambah kerusi yang dimenangi gabungan BN-PN, sekali gus meletakkan gabungan itu dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi DUN.

Keputusan itu juga mencetuskan perhatian terhadap keberkesanan kerjasama BN-PN dalam menggerakkan sokongan penyokong kedua-dua parti, khususnya kesediaan pengundi UMNO memberikan undi kepada calon PAS.

Rafie, 58, yang juga anak jati Paya Rumput sebelum ini dilihat mempunyai kelebihan dari segi hubungan dengan penduduk tempatan, berbanding Azman yang dikaitkan dengan status calon luar dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan gabungan BN-PN memperoleh sekurang-kurangnya 15 kerusi, sekali gus mencapai jumlah minimum untuk membentuk kerajaan negeri.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here