Adakah Putrajaya pula jadi sasaran BN-PN?…ini jawapan Zahid

SETELAH Barisan Nasional (BN) menang besar di Johor, berpakat dengan Perikatan Nasional (PN) tumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan dan Melaka, kini persoalan timbul adakah kesepakatan itu akan diteruskan pula dengan misi untuk menawan Putrajaya.

Persoalan mengenai perkara itu bertebaran selepas pelbagai pihak melihat betapa ampuhnya gandingan BN-PN yang dianggap membuktikan kekuatan penyatuan Melayu. Justeru sudah ada desakan dan sudah ada gesaan supaya mereka bergerak lebih jauh lagi untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU-16).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi amat memahami riak-riak yang semakin kuat mahu menuju Putrajaya namun ketika bercakap kepada pemberita di Brickfield, Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata perkara itu masih belum dirancang secara rasmi.

Menurut beliau, pengalaman kerjasama politik yang dilalui di Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan wujud persefahaman antara pihak terbabit, namun sebarang langkah lebih jauh hanya akan dibincangkan apabila tiba masanya.

“Apa yang telah kita lalui khususnya di Negeri Sembilan dan Melaka ialah kesefahaman politik. Kita belum pernah merancang ke arah yang lebih jauh, tetapi apabila tiba masanya, kita akan duduk sama-sama,” katanya.

Beliau turut mengulas cadangan berkaitan penyelesaian politik yang sebelum ini dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau itu keadaan yang disebutkan juga oleh YAB Anwar Ibrahim, maka beliau mempunyai hak dan mandat untuk melakukannya,” katanya.

Semalam, Anwar menegaskan bahawa pendekatan penyelesaian politik dan dasar negara perlu berteraskan prinsip perlembagaan, keadilan untuk semua kaum, serta kestabilan Kerajaan Perpaduan tanpa tunduk kepada desakan berasaskan dominasi kaum atau tekanan pembubaran Parlimen yang terburu-buru.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan BN tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak susulan persefahaman politik yang telah lama terjalin antara UMNO, BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.

“BN tidak ada niat untuk bertanding di mana-mana kerusi di Sarawak kerana inilah understanding (kesepakatan) antara UMNO dan PBB Sarawak.  UMNO dan BN tidak pernah berhasrat untuk meletakkan mana-mana calon dalam PRN Sarawak,” katanya



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here