ISU kemudahan asas di kawasan luar bandar, khususnya bekalan air bersih, elektrik dan infrastruktur perlu diberi perhatian serius menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Mas Gading, Heikarl Edzha Zaini berkata, masih terdapat kawasan luar bandar yang berdepan masalah bekalan air bersih dan elektrik tidak konsisten sehingga menjejaskan keperluan harian serta kesejahteraan penduduk.

Beliau berkata, pembangunan Sarawak tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan kemajuan bandar atau pelaksanaan projek berskala besar, sebaliknya perlu mengambil kira tahap kemudahan asas yang dinikmati penduduk di kawasan pedalaman.
“Pembangunan Sarawak tidak seharusnya hanya diukur melalui kemajuan bandar dan projek berskala besar.
“Sebaliknya, keupayaan memastikan setiap rakyat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, menikmati kemudahan asas yang sempurna juga perlu menjadi ukuran utama kemajuan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, AMK Mas Gading berpandangan isu bekalan air, elektrik dan infrastruktur asas luar bandar perlu diberikan keutamaan dalam perancangan pembangunan serta agenda politik semua pihak menjelang PRN berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa supaya golongan muda diberikan ruang lebih luas untuk menawarkan diri sebagai calon dan mengambil bahagian dalam kepimpinan politik pada pilihan raya negeri itu.
Katanya, anak muda bukan sekadar pemerhati, sebaliknya mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan Sarawak menerusi idea dan perspektif baharu.
“Anak muda bukan sekadar pemerhati politik, malah mereka merupakan sebahagian daripada generasi yang bakal menentukan hala tuju masa depan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan golongan itu dalam kepimpinan politik juga mampu membawa pendekatan yang lebih dekat dengan realiti kehidupan generasi muda serta masyarakat setempat.
“Kita memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja memahami cabaran semasa, tetapi juga bersedia mendengar suara rakyat tanpa mengira usia, latar belakang mahupun lokasi,” katanya.
Beliau menegaskan pembangunan luar bandar perlu terus menjadi agenda utama, manakala suara anak muda wajar diberikan tempat dalam menentukan masa depan negeri itu.





