Malaysia pertahan kerusi Majlis ITU, peluang terlibat awal perbincangan 6G – Fahmi

KEJAYAAN  Malaysia mempertahankan kerusi dalam Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030, membuka peluang besar kepada negara untuk terlibat secara langsung seawal peringkat perbincangan pembangunan teknologi komunikasi generasi keenam (6G), serta hala tuju kesalinghubungan global.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kedudukan berterusan dalam badan pembuat keputusan tertinggi ITU, membolehkan Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam penetapan piawaian telekomunikasi, pengurusan spektrum dan perangkaan dasar kesalinghubungan antarabangsa.

Beliau berkata penyertaan berterusan Malaysia juga penting bagi memastikan pengalaman negara dalam membangunkan rangkaian 5G dapat dikongsi, selain memperkasakan suara negara-negara membangun dalam proses membuat keputusan di peringkat global.

“Saya percaya dengan keberadaan Malaysia pada peringkat tertinggi ini, di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia membuka ruang untuk kita bukan sekadar berkongsi perjalanan mengemudi pelaksanaan 5G dan seterusnya.

“Malah, kita kini mempunyai akses awal kepada perbincangan mengenai kesalinghubungan generasi akan datang atau apa yang disebut sebagai 6G,” katanya ketika mengulas hala tuju Malaysia susulan pemilihan semula negara sebagai anggota Majlis ITU, lapor Bernama.

Fahmi berkata pengalaman Malaysia dalam melaksanakan pembangunan teknologi telekomunikasi, boleh dijadikan penanda aras serta panduan kepada negara lain, khususnya dalam mengenal pasti cabaran dan mitigasi risiko pada fasa awal pelaksanaan.

“Ini penting kerana pengalaman kita boleh dijadikan iktibar tentang apa yang perlu dielakkan dan diteliti lebih awal, sekali gus membuka peluang kepada negara-negara membangun untuk mempunyai suara dan bersama-sama membuat keputusan,” katanya.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Komunikasi, Kementerian Luar (Wisma Putra) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas komitmen jitu, memastikan kesinambungan penyertaan Malaysia dalam badan dunia berkenaan.

“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh pasukan daripada Kementerian Komunikasi, Wisma Putra dan MCMC atas kejayaan yang amat membanggakan ini,” katanya.

Malaysia berjaya mengekalkan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027-2030 menerusi pemilihan sempena Persidangan Plenipotensiari ITU 2026 (PP-26) yang sedang berlangsung di Doha.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here