Pengusaha penginapan diminta waspada elak premis jadi pusat sindiket – Polis

PENGUSAHA chalet, resort dan inap desa diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menerima penyewa bagi mengelakkan premis mereka dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, peringatan itu susulan beberapa kejadian membabitkan premis penginapan di Kuantan dan Bentong yang dikesan digunakan sebagai pusat panggilan sindiket penipuan dikendalikan warga asing.

Katanya, pengusaha perlu meneliti latar belakang bakal penyewa, khususnya bagi tempahan jangka panjang, dalam jumlah besar atau membabitkan kumpulan penghuni yang luar biasa ramai.

Beliau turut meminta pengusaha peka terhadap pergerakan mencurigakan, termasuk kunjungan individu yang tidak berdaftar sebagai penghuni serta aktiviti keluar masuk tetamu yang luar biasa.

“Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran sewa lumayan tanpa terlebih dahulu mengesahkan identiti bakal penyewa.

“Pemilik juga perlu memastikan kamera litar tertutup (CCTV) diselenggara dengan baik dan berfungsi kerana rakamannya boleh membantu siasatan sekiranya kegiatan jenayah dikesan berlaku di premis mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis negeri di Kuantan, hari ini, lapor BH.

Azry Akmar turut mengingatkan pengusaha supaya tidak bersubahat dengan sindiket penipuan semata-mata untuk mendapatkan pulangan sewa yang lumayan.

Pada 5 November lalu, polis menahan 14 lelaki termasuk 12 warga Taiwan selepas membongkar operasi pusat panggilan sindiket penipuan yang beroperasi di 18 chalet sewa di Bentong.

Pemilik premis terbabit dipercayai menyewakan semua unit berkenaan kepada sindiket itu selama dua bulan.

Dalam operasi berasingan pada 5 Oktober lalu, Jabatan Imigresen menahan 98 individu termasuk 95 warga asing di sebuah resort di Sungai Lembing, di sini.

Seramai 12 lagi suspek ditahan dalam operasi susulan pada 6 Oktober selepas polis menahan seorang lelaki warga China yang pergi ke resort berkenaan.

Tahun lalu, polis turut membongkar kegiatan sindiket pusat panggilan penipuan di sebuah hotel bajet di Triang, Bera, kira-kira 158 kilometer dari Kuantan. Seramai lapan warga China termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here