TIGA premis terbakar di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, Klang hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.52 pagi.
Sepasukan 12 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dan Klang Selatan dikejarkan ke lokasi.
“Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat, butik pengantin dan kedai runcit.
“Rumah terbakar 30 peratus sementara butik pengantin (98 peratus) dan kedai runcit (80 peratus),” katanya menerusi satu kenyataan, lapor Berita Harian.
Ahmad Mukhlis berkata, kejadian bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Menurutnya, kerja-kerja pemadaman sedang giat dijalankan.


