Lebih tiga juta batang rokok seludup bernilai RM5.8 juta dirampas

LEBIH tiga juta batang rokok putih seludup bernilai RM5.8 juta dirampas selepas ditemukan dalam sebuah lori yang ditinggalkan di Kampung Tok Dokang, Kota Bharu, semalam.

Rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada jam 7.30 pagi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kejayaan itu hasil risikan dan pemerhatian selama tujuh jam terhadap lori berkenaan yang ditinggalkan di kawasan terbabit.

Menurutnya, tiada individu datang menghampiri atau mengambil lori itu sepanjang tempoh pemantauan dijalankan.

“Pada jam kira-kira 7.30 pagi, pasukan serbuan membuat pemeriksaan dan menemui bungkusan guni berwarna hijau di bahagian belakang lori itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut kita mendapati bungkusan guni berkenaan mengandungi lebih tiga juta batang rokok putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM5.64 juta, manakala lori berkenaan bernilai kira-kira RM180,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM5.8 juta.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi berkenaan.

Katanya, rampasan itu akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Kota Bharu untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Pemantauan dan pemeriksaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada sebarang pembolosan dan aktiviti penyeludupan berlaku,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here