PGA rampas 74,650 batang rokok disorok dalam ruang khas di sebalik almari

RUANG khas yang dibina di sebalik sebuah almari untuk menyembunyikan puluhan ribu batang rokok putih dan kretek disyaki tidak bercukai terbongkar dalam serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung, semalam.

Serbuan kira-kira jam 3 petang itu dijalankan Cawangan Risik Batalion 9 PGA Terengganu dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang menerusi Op Taring Alpha 1.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil risikan yang dijalankan pihaknya sebelum operasi.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun yang berada di bahagian kaunter hadapan kedai turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Pemeriksaan badan terhadap suspek tidak menemui sebarang barang salah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam bilik tidur menemui sebuah ruang khas yang dibina di bahagian dalam almari dan digunakan untuk menyembunyikan rokok putih serta rokok kretek disyaki diseludup tanpa cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, pihaknya merampas sebanyak 60,250 batang rokok putih dan 14,400 batang rokok kretek dalam serbuan berkenaan.

Katanya, keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM142,187.50.

“Suspek ditahan sebelum semua barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Marang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, penemuan ruang penyimpanan khas itu menunjukkan terdapat usaha menyembunyikan barang tidak bercukai daripada dikesan pihak berkuasa.

“Kejayaan ini adalah hasil tindakan risikan yang dijalankan Cawangan Risik Batalion 9 PGA sebelum serbuan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, serbuan dan rampasan berkenaan dijangka memberi impak terhadap kegiatan penyeludupan serta pengedaran rokok tidak bercukai.

Katanya, tindakan berkenaan juga dapat membantu mengurangkan ketirisan hasil kerajaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here