CUBAAN seorang tekong darat menyeludup sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar gagal selepas kereta dinaikinya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis di Jalan Tali Air Kampung Neting, Tumpat, semalam.
Suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan oleh Task Force Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat kira-kira jam 6 pagi.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya mengesan sebuah kereta Honda Accord dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Neting sebelum mengekori kenderaan itu.
Menurutnya, pemandu kereta terbabit memecut selepas menyedari kehadiran pasukan serbuan sebelum terbabas di bahu jalan dan berjaya ditahan.
“Ketika proses tangkapan, berlaku pergelutan antara pemandu dengan anggota serbuan menyebabkan pemandu terbabit mengalami kecederaan di lengan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan sembilan PATI warga Myanmar terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan berusia antara 18 hingga 38 tahun yang berada di tempat duduk hadapan dan belakang.
Katanya, kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan turut menemui sebotol air minuman mengandungi cecair disyaki air ketum, 10 telefon bimbit dan wang tunai RM930.
“Hasil soal siasat awal mendapati pemandu kereta mengaku mengambil upah RM80 bagi setiap PATI yang dibawanya,” katanya.
Menurutnya, suspek memaklumkan mula terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran sejak awal November ini dan penghantaran berkenaan adalah kali ketiga dilakukannya.
Ahmad Radzi berkata, semua PATI itu dipercayai akan dihantar ke Lubok Jong, Pasir Mas sebelum diambil transporter lain untuk dibawa ke Kuala Lumpur.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu memasuki negara ini melalui Pantai Geting, Tumpat dengan menggunakan khidmat ejen di Myanmar yang mengenakan bayaran kira-kira RM3,000 seorang.
Mereka turut dijanjikan pekerjaan sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur.
“Semakan mendapati nombor pendaftaran yang digunakan pada kereta itu adalah palsu, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.





