Sindiket seludup PATI ubah taktik, bawa masuk migran dalam kumpulan kecil

SINDIKET penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan mengubah taktik dengan membawa masuk migran dalam kumpulan kecil serta menempatkan mereka secara berperingkat bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia–Thailand.

Modus operandi itu bagaimanapun berjaya dipatahkan menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan (OTWK) yang dijalankan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi bermula kira-kira jam 3.30 pagi selepas sepasukan anggota PGA menjalankan risikan di kawasan Kampung Banggol Kemian sebelum mengesan sebuah Proton Exora dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu kenderaan terbabit bertindak memberhentikan kereta sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran dan gagal dikesan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan empat lelaki warga Myanmar di bahagian tempat duduk belakang dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah sebelum ditahan.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan hutan lokasi kejadian kira-kira sejam kemudian membawa kepada penahanan sembilan lagi warga Myanmar yang dipercayai baru dibawa masuk ke negara ini melalui laluan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua migran terbabit dibawa masuk dari Thailand melalui Sungai Golok oleh dua lelaki tidak dikenali sebelum ditinggalkan secara berperingkat di kawasan hutan bagi mengurangkan risiko dikesan pasukan keselamatan.

Katanya, mereka dipercayai merancang untuk mendapatkan pekerjaan di sekitar Kuala Lumpur.

Menurut Ahmad Radzi, seramai 13 warga Myanmar berusia antara 20 hingga 37 tahun ditahan dalam operasi berkenaan selain sebuah Proton Exora bernilai kira-kira RM30,000 yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran turut dirampas.

“Kesemua tangkapan diserahkan kepada BSJ IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihak PGA turut merampas 30 pokok hiasan yang dipercayai diseludup dari Thailand dalam satu operasi di Jalan Kuala Jambu menghala ke Teluk Jering, Tumpat, semalam.

Katanya, rampasan dilakukan kira-kira jam 7 malam selepas anggota rondaan Ops Taring Wawasan Kelantan menahan sebuah lori Hicom biru dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 30 pokok hiasan jenis Chlorophytum comosum dipercayai dibawa masuk tanpa dokumen sah.

“Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan kemasukan pokok hiasan itu yang disyaki berisiko membawa serangga perosak,” katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek mengambil pokok berkenaan di pangkalan haram di Pokok Tar sebelum dipercayai mahu menghantarnya ke Tunjong.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dan pokok hiasan dianggarkan RM153,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976,” ujarnya.

Katanya, semua barang rampasan bersama suspek diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut, selain pemantauan di kawasan sempadan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img