DAP gesa SPRM dedah status siasatan pembelian kapal selam Scorpene

SURUHANJAYA  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mendedahkan status siasatannya berhubung urus niaga pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis pada 2002.

Ketua Biro Undang-undang Wanita DAP, Sangeet Kaur Deo, berkata gesaan itu dibuat selepas perjanjian pertahanan baharu dimeterai dengan syarikat Perancis semalam, sempena lawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Malaysia, termasuk program ‘pemodenan pertengahan hayat’ kapal selam Scorpene milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau berkata kerajaan perlu mengetahui sepenuhnya urus niaga dan dakwaan berkaitan pembelian kapal selam Scorpene sebelum memeterai perjanjian baharu dengan syarikat sama yang terbabit dalam urus niaga terdahulu.

“Usaha memperkukuh hubungan dengan Perancis tidak boleh bermakna isu Scorpene yang belum selesai disapu ke bawah permaidani.

“SPRM mesti menyatakan secara terbuka sama ada siasatan Scorpene masih berjalan, apakah perkembangan petunjuk berhubung pembayaran RM42 juta itu dan sama ada mana-mana individu akan didakwa. Jika siasatan sudah ditutup, nyatakan demikian dan jelaskan sebabnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan Menteri Pertahanan ketika perjanjian pembelian dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah kapal selam Agosta daripada unit limbungan kapal tentera laut Perancis, DCN — kini sebahagian daripada syarikat pertahanan Thales — dimeterai pada nilai USD1.2 bilion.

Sekutunya, Abdul Razak Baginda, bertindak sebagai penasihat dalam urus niaga itu. Beliau didakwa menyembunyikan bayaran komisen melebihi €114 juta sebagai ‘kerja perundingan’ oleh sebuah syarikat yang mana beliau merupakan pemegang saham terbesar.

Dua tahun lalu, SPRM berkata siasatannya berhubung pemerolehan dua kapal selam Scorpene dari Perancis pada 2002 masih berjalan. Satu sumber kemudian mendedahkan agensi itu menerima petunjuk baharu dalam siasatannya, berkaitan pembayaran RM42 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan tanpa pengetahuan lembaga pengarahnya.

RM42 juta itu dilaporkan sebahagian daripada kontrak bernilai RM530 juta bagi perkhidmatan sokongan berkaitan pembelian kapal selam berkenaan.

Pada 2022, Thales didakwa atas pertuduhan bersubahat dalam rasuah berhubung pembelian tiga kapal selam oleh Malaysia.

Perjanjian bagi program pemodenan pertengahan hayat kapal selam itu dimeterai semalam dengan Thales dan Safran.

Sangeet menggesa kerajaan menjelaskan usaha penelitian sewajarnya yang dilakukan sebelum perjanjian itu dimeterai dengan Thales, serta sama ada perjanjian berkenaan merangkumi perlindungan antirasuah.

“Kerajaan juga mesti menyatakan pendiriannya berhubung isu Scorpene, termasuk langkah yang diambil untuk melindungi kepentingan Malaysia dalam prosiding di Perancis dan mendapatkan semula wang awam yang mungkin telah hilang.”



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here