Malaysia gesa perdagangan global berasaskan peraturan terus diperkukuh – Anwar

MALAYSIA menggesa sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan terus diperkukuh ketika ketegangan geopolitik dunia semakin meningkat, bagi memastikan keterbukaan dan kerjasama ekonomi tidak terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama ekonomi perlu terus dipertahankan selain memperdalam keseragaman ekonomi serantau bagi menghadapi cabaran landskap geopolitik semasa.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pendirian Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-33 di Shenzhen, China, hari ini.

“Pagi tadi semasa di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC Ke-33 di sini, saya telah menegaskan bahawa tatkala ketegangan geopolitik kian meruncing, keterbukaan dan kerjasama ekonomi mesti terus didukung dan dipertahankan.

“Maka, Malaysia menyeru agar sistem dan tatacara perdagangan pelbagai hala berpaksi pada hukum dan peraturan diperkukuh dan keseragaman ekonomi serantau diperdalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa kemakmuran bersama tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pewujudan pekerjaan berkualiti, peningkatan taraf hidup dan peluang yang lebih saksama kepada masyarakat.

Menurutnya, prinsip berkenaan juga perlu menjadi panduan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), termasuk memastikan kemajuan teknologi dilaksanakan secara beretika dan selamat.

“Justeru, Malaysia mesti mendukung tata kelola digital dan AI yang berpegang pada etika, memperkukuh keselamatan siber dan memastikan manfaat teknologi turut dinikmati oleh kuasa ekonomi dan gugusan negara di dunia selatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menghargai prakarsa Presiden China, Xi Jinping dalam merangkul Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak APEC kali ini.

Katanya, usaha berkenaan membuka ruang kepada dialog dan persefahaman yang bermakna ke arah mewujudkan keamanan serta kerukunan berkekalan.

Anwar turut mengangkat gagasan Confucius mengenai keharmonian dalam kepelbagaian sebagai prinsip yang wajar dijadikan pedoman dalam hubungan antarabangsa.

“Mesti ditegaskan di ruang dan pentas ini mengenai gagasan besar Confucius tentang keharmonian dalam kepelbagaian yang wajar menjadi pedoman kita di Shenzhen.

“Meski dalam keadaan dunia yang berantakan kini, Asia Pasifik mampu memperlihatkan kepada dunia bahawa persaingan boleh berjalan seiring dengan kerjasama, dan bahawa hasil kemajuan boleh dikongsi dengan lebih adil dan manusiawi,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here