EMPAT syarikat teknologi tinggi dari China menyatakan minat meneroka peluang pelaburan baharu serta memperluas operasi di Malaysia, termasuk dalam sektor peranti perubatan, bahan termaju dan pembuatan komponen bateri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama wakil syarikat berkenaan pada hari kedua lawatan beliau ke Shenzhen, China.
Empat syarikat terbabit ialah Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology, Shenzhen Capchem Technology dan XTC New Energy Materials (Xiamen).

Menurut Anwar, Mindray sedang meneroka peluang membangunkan fasiliti pembuatan atau hab perkhidmatan peranti perubatan di Malaysia, termasuk menjalin kerjasama dengan pengilang serta pembekal komponen tempatan.
Dalam sektor bahan termaju dan industri bateri pula, Tinci Materials bercadang menghasilkan elektrolit serta bahan kimia khusus bagi bateri litium-ion, manakala XTC New Energy Materials merancang pelaburan dalam pembuatan bahan katod bateri litium-ion di Selangor.
Sementara itu, Capchem Technology yang sudah beroperasi di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, sedang meneliti cadangan membina kilang kedua bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan pasaran Asia Tenggara.
“Selain itu, saya turut memberi tumpuan kepada peluang penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat dan kepakaran teknikal,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, Malaysia komited menarik pelaburan berkualiti tinggi yang bukan sahaja mampu memacu pertumbuhan ekonomi, malah memberikan manfaat langsung kepada negara dan rakyat.
Katanya, keutamaan kerajaan adalah memastikan pelaburan berkenaan memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia serta mempercepat pemindahan teknologi.
“Walhasil, keutamaan kita adalah memastikan pelaburan ini mampu serta berupaya memperkasa industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia, mempercepat pemindahan teknologi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi, seperti yang didambakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP),” katanya.





