Malaysia terima cadangan pelaburan bernilai RM9.2 bilion di China – PM

MALAYSIA menerima cadangan pelaburan bernilai RM9.2 bilion secara indikatif hasil pertemuan dengan syarikat berpangkalan di China bersempena dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026.

Anwar berkata, angka berkenaan masih bersifat indikatif, manakala butiran lanjut mengenai cadangan pelaburan itu akan diperincikan kemudiannya oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“(Cadangan pelaburan) RM9.2 bilion, setakat inilah,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 di Shenzhen, China hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, lebih tujuh syarikat terlibat dalam pertemuan sepanjang lawatan kerja tersebut, termasuk Fast Print Circuit Tech, Fast Train Technology, Mandarin Biomedical, Jinci Material, Capture Technology serta syarikat dalam sektor bahan tenaga baharu.

Cadangan pelaburan berkenaan melibatkan beberapa negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Pahang, dengan Kerajaan Persekutuan akan turut membantu mempercepatkan proses pelaksanaan bagi menyokong kepentingan negeri terbabit.

Anwar berkata, pertemuan berkenaan diadakan menerusi kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), MIDA, Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Kedutaan Besar Malaysia di China.

“Saya turut menggalakkan syarikat terbabit meningkatkan aktiviti di Malaysia selain membuka lebih banyak peluang eksport produk Malaysia ke pasaran China,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, hubungan perdagangan dengan China amat penting memandangkan nilai perdagangan kedua-dua negara mencecah RM541.15 bilion pada 2025.

Beliau berkata, kepentingan hubungan ekonomi itu bukan sahaja melibatkan syarikat besar, malah turut membawa limpahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta puluhan ribu rakyat yang terlibat dalam sektor pekerjaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here