Jangan biar perbezaan pandangan ganggu kerjasama kerajaan – Mat Sabu

SEMUA anggota Kerajaan Perpaduan diminta menjaga hubungan dan mempertahankan kerjasama bagi memastikan kestabilan pentadbiran terus terpelihara.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap anggota pentadbiran perlu memainkan peranan masing-masing dalam mendukung perpaduan memandangkan mereka berada dalam kerajaan yang sama.

“Kita harap perpaduan ini dapat kita dukung bersama. Kita berada dalam kerajaan ini, jadi jagalah perpaduan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Agro I-Sinar Skim Pembiayaan untuk Usahawan Mikro India di Klang hari ini, lapor FMT.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengulas sama ada tindakan anggota pentadbiran kerajaan saling berbalas sindiran boleh menjejaskan perpaduan kerajaan.

Isu itu timbul susulan kontroversi membabitkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang menyampaikan pantun berunsur sindiran ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.

Ahmad kemudian mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi surat bertarikh 17 November, dengan mengakui pemilihan kata dalam pantun berkenaan tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Semalam, Anwar mengesahkan menerima permohonan maaf itu, namun mengingatkan semua anggota pentadbiran supaya menjaga adab dan disiplin ketika mengendalikan urusan rasmi kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri perlu dibangkitkan menerusi saluran sewajarnya, termasuk dalam mesyuarat Kabinet dan bukannya secara terbuka ketika urusan rasmi kerajaan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here