PN-BN perlu bekerjasama sebagai rakan setara, bukan ‘abang long’

PERIKATAN  Nasional (PN) menegaskan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) perlu berasaskan prinsip kesaksamaan dan saling menghormati, tanpa mana-mana pihak menganggap dirinya sebagai ‘abang long’ atau pihak lebih dominan.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerjasama politik antara kedua-dua gabungan itu perlu mempunyai matlamat jelas, khususnya dalam usaha membentuk kekuatan mencukupi untuk memenangi pilihan raya dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jika prinsip mempertahankan kerusi penyandang dipersetujui sebagai asas rundingan, semua pihak perlu menghormati persetujuan itu secara konsisten.

Beliau berkata, PN mengakui mempunyai kekuatan tersendiri, namun kekuatan gabungan itu sahaja masih belum mencukupi untuk memastikan kemenangan di peringkat Persekutuan.

”Justeru, usaha memperluas kerjasama politik dengan pihak lain termasuk BN perlu diteruskan walaupun terdapat perbezaan budaya dan pendekatan politik antara parti terbabit,” katanya  ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-53 parti Gerakan di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas prestasi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ahmad Samsuri berkata pencapaian calon Gerakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh yang memperoleh 8,474 undi atau 33.2 peratus menunjukkan perkembangan positif berbanding PRN 2021.

Beliau berkata, sokongan pengundi berusia 18 hingga 40 tahun kepada PN mencapai 40.4 peratus, manakala sokongan daripada pengundi berusia 61 tahun ke atas ialah 22 peratus.

Malah kata Ahmad Samsuri sokongan pengundi kali pertama kepada PN juga mencapai 42.7 peratus berbanding 45.4 peratus kepada Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, beliau mengakui PN masih berdepan cabaran besar untuk meningkatkan sokongan masyarakat Cina, khususnya di kawasan bandar seperti Ayer Keroh.

Menurutnya, sokongan pengundi Cina kepada PN di kerusi berkenaan hanya 1.1 peratus berbanding 91 peratus kepada DAP, manakala calon Gerakan memperoleh sokongan 68.5 peratus pengundi Melayu.

Sehubungan itu, beliau menyasarkan sokongan pengundi Cina kepada PN dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya lapan peratus, bergantung kepada tahap sokongan pengundi Melayu, bagi membuka peluang gabungan itu memenangi kerusi berkenaan.

Katanya, Gerakan mempunyai peranan strategik untuk memperluas sokongan masyarakat Cina, namun usaha itu memerlukan komitmen bersama semua parti komponen PN.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri mengingatkan semua parti komponen PN supaya bersedia menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan pada bila-bila masa sepanjang 2027.

Beliau yang Menteri Besar Terengganu berkata, semua parti perlu segera membangunkan tawaran dasar yang boleh diselaraskan menerusi kumpulan kerja bersama serta pasukan pemikir bagi memastikan dokumen tawaran PN bersifat menyeluruh, realistik dan mempunyai sasaran yang boleh dinilai rakyat.

Ahmad Samsuri Beliau turut menggariskan enam keutamaan yang boleh dijadikan asas tawaran PN kepada rakyat, iaitu meningkatkan pendapatan dan kuasa beli, memudahkan urusan perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya dalam menghadapi cabaran kecerdasan buatan (AI).

”Keutamaan lain ialah membina kerajaan yang bersih, cekap, berintegriti dan boleh dipercayai, menyediakan pendidikan yang mampu membuka masa depan rakyat, menjamin kesejahteraan keluarga serta memperkukuh perpaduan dan pembangunan seimbang,” katanya.

Beliau menegaskan kejayaan ekonomi negara tidak seharusnya diukur berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata, sebaliknya perlu dirasai secara langsung oleh rakyat sehingga ke meja makan setiap keluarga.

Pada masa sama, Ahmad Samsuri mengingatkan PN supaya tidak sekadar mengkritik kelemahan kerajaan tanpa mengemukakan penyelesaian praktikal.

Katanya, setiap kritikan perlu disertakan cadangan yang boleh dilaksanakan, selain mengelakkan janji berlebihan yang akhirnya gagal ditunaikan sekiranya diberi mandat mentadbir negara.

Beliau berkata, PN perlu berani mengemukakan janji secara bertanggungjawab dan bersedia dinilai berdasarkan pelaksanaannya.

Mengenai hubungan dalam gabungan itu, beliau menyeru semua parti komponen supaya menghormati perbezaan pandangan, mendengar kebimbangan rakan gabungan dan mencari titik persamaan.

Katanya, kekuatan PN bergantung kepada kesediaan setiap parti untuk bekerjasama tanpa mengira saiz atau jumlah kerusi yang dimiliki dan turut menegaskan muafakat hanya akan menjadi kukuh apabila setiap rakan gabungan berasa dihormati, didengari dan diperlukan dalam perjuangan bersama.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here