SEORANG bayi lelaki berusia enam bulan cedera parah pada bahagian muka selepas diserang seekor monyet liar di kediamannya di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, bayi malang itu, Ahmad Ayyash Adyan, dikatakan berada di rumah ketika diserang haiwan berkenaan sebelum kejadian disedari ibunya, Nur Elyana Batrisha Mohammad Farid.
Susulan kejadian itu, bapa mangsa segera membawa bayi berkenaan ke hospital dengan menaiki motosikal untuk mendapatkan rawatan.
Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian muka, lapor BH.
Difahamkan, kejadian berkenaan bukan kes pertama berlaku di kawasan itu apabila lebih 10 penduduk didakwa pernah menjadi mangsa serangan monyet.
Penduduk mendakwa sudah membuat laporan berhubung gangguan haiwan liar itu sebelum ini, namun masih belum melihat penyelesaian terhadap masalah berkenaan.
Mereka bimbang kejadian sama berulang, terutama membabitkan kanak-kanak yang sering bermain di kawasan hadapan rumah pada waktu petang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Rasa nak pecah dada tengok gambar bayi yang diserang monyet liar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengunjungi pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor bagi menyampaikan aduan supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Katanya, beliau berharap tindakan pantas dan menyeluruh dilaksanakan bagi menangani masalah gangguan monyet liar itu.
Pada masa sama, beliau mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga serta berharap kejadian seumpama itu tidak berulang.





