Pegawai AKPS ditahan disyaki bawa masuk warga asing tanpa dokumen sah

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan seorang pegawainya ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan itu dibuat susulan tindakan seorang pegawai wanita yang menyedari pegawai atasannya didakwa melakukan sesuatu di luar prosedur ditetapkan.

Beliau berkata, AKPS bersedia memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membongkar rangkaian lebih besar yang dipercayai terbabit dalam penyeludupan migran.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.

“Tangkap berapa ramai yang perlu ditangkap. Saya rasa rakyat Malaysia sudah cukup muak dengan kegiatan seperti ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, Kuala Lumpur hari ini, lapor SInar Harian.

Mohd Shuhaily berkata, kes berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana kegiatan sedemikian berpotensi melibatkan counter setting.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai modus operandi kes itu memandangkan siasatan masih berjalan.

Dalam pada itu, beliau memuji keberanian pegawai wanita berkenaan dan menyifatkan tindakannya sebagai titik permulaan kepada perubahan yang ingin dibawa dalam AKPS.

“Saya akan bertemu pegawai berkenaan dalam masa terdekat untuk menyampaikan penghargaan atas keberanian dan integriti yang ditunjukkan.

“Keberanian seperti ini perlu dihargai dan dihormati kerana hanya memerlukan seorang individu untuk mengubah apa yang berlaku di lapangan. Beliau berani tampil walaupun berdepan cabaran dan saya akan berada di belakangnya,” katanya.

Pada 17 November lalu, seorang penjawat awam berusia 40-an ditahan selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah di KLIA Terminal 2.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here