Krisis N.Sembilan: PH tempelak BN-PN, gesa hormati titah Tuanku Muhriz,hentikan pertelingkahan politik

WALAUPUN sudah lebih 100 hari ini, rakyat Negeri Sembila (NS) memberi mandat cukup besar kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu pada 1 Ogos lalu, namun sehingga kini pentadbiran kerajaan negeri masih tidak menentu.

Isu surat peletakan jawatan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim telah mencetuskan konflik politik berpanjangan negeri itu. Malangnya ia bukannya melibatkan antara BN-PN dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya melibatkan krisis dalam BN dan UMNO apabila Ismail menafikan menghantar surat peletakan jawatan.

Sehubungan itu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembila Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Ismail membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jika itu berjaya dilakukan beliau dikehendaki menghantar senarai calon Exco Kerajaan Negeri dan membentangkan Belanjawan Negeri.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada apa-apa berlaku. Tiada siapun ada jawapan apa kedudukan sebenar kemelut itu.

Lanjutan itu semalam Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan Negeri Sembilan membuat kenyataan menempelak sikap BN-PN kerana membiarkan konflik itu berpanjangan.

Berikut kenyataan penuh majlis tersebut;

Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PHNS) memandang amat serius kemelut politik dan pentadbiran yang terus berpanjangan di Negeri Sembilan akibat pertelingkahan dalam kalangan kepimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (BN-PN).

Kemelut ini sepatutnya telah lama dinoktahkan, lebih-lebih lagi setelah DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan supaya penyelesaian dilaksanakan mengikut lunas perlembagaan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran dan institusi kerajaan negeri.

Malangnya, perkembangan mutakhir memperlihatkan pertikaian politik masih belum menemui jalan penyelesaian yang meyakinkan.

Sudah lebih 100 hari Negeri Sembilan dibelenggu ketidaktentuan politik dan pentadbiran. Sepanjang tempoh tersebut, perhatian rakyat terus diheret kepada pergelutan dalaman UMNO dan perebutan kedudukan dalam kerajaan BN-PN.

PHNS berpandangan bahawa keadaan ini telah menjejaskan keutamaan pentadbiran negeri dan menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran urusan kerajaan. Negeri Sembilan tidak seharusnya terus menjadi mangsa percaturan politik pihak yang diberikan mandat untuk mentadbir. Rakyat memberikan mandat untuk bekerja dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya untuk menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.

Lebih mengecewakan, mesyuarat melibatkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN yang sepatutnya membuka jalan kepada penyelesaian kemelut ini telah memperlihatkan bahawa arahan serta ketetapan kepimpinan parti masih menjadi sandaran utama dalam menentukan pendirian mereka.

PHNS mempersoalkan mengapa penyelesaian berlandaskan perlembagaan dan penghormatan terhadap kedudukan DYMM Tuanku Muhriz tidak diberikan penekanan yang sama jelas. Apakah kepentingan dan keputusan pucuk pimpinan parti hendak diletakkan mengatasi tanggungjawab wakil rakyat untuk menghormati institusi Yang di-Pertuan Besar serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan?

PHNS turut mempersoalkan percanggahan yang terserlah antara kenyataan kepimpinan tertinggi BN dengan perkembangan politik di peringkat negeri.

Presiden UMNO sendiri telah menyatakan bahawa penyelesaian kemelut Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada kebijaksanaan DYMM Tuanku Muhriz. Namun, pertelingkahan berhubung kedudukan Menteri Besar masih berterusan.

Keadaan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesungguhan BN-PN untuk menoktahkan kemelut tersebut. Kesetiaan kepada institusi diraja tidak memadai dengan kenyataan terbuka semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang selaras dengan titah, perkenan dan peruntukan perlembagaan.

Pakatan Harapan Negeri Sembilan menempelak sikap kepimpinan BN-PN yang dilihat masih mengutamakan percaturan kuasa ketika kepentingan rakyat memerlukan perhatian segera.

Lebih membimbangkan, ketidaktentuan ini berlaku menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027. Belanjawan negeri bukan sekadar dokumen kewangan kerajaan, sebaliknya melibatkan peruntukan pembangunan, kebajikan rakyat, kemudahan awam dan kelangsungan ekonomi negeri. Jangan sampai pertelingkahan politik BN-PN menyebabkan kepentingan serta masa depan rakyat Negeri Sembilan terus terabai.

PHNS ingin menegaskan bahawa pendirian kami sejak awal kekal konsisten dan tidak pernah berubah. Pakatan Harapan akan terus menjunjung kedaulatan DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta menghormati kedudukan dan kewibawaan Institusi Undang Yang Empat yang sah di luak masing-masing, selaras dengan adat, undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pendirian ini bukan didorong oleh kepentingan politik kepartian, tetapi berpaksıkan prinsip bahawa kedaulatan institusi diraja, keluhuran perlembagaan dan kestabilan negeri wajib dipertahankan tanpa kompromi.

PHNS percaya bahawa rakyat Negeri Sembilan semakin bosan dengan pertelingkahan, percanggahan kenyataan dan sandiwara politik yang tidak berkesudahan. Segala tindakan dan keputusan yang berlaku sepanjang kemelut ini akan terus menjadi penilaian rakyat terhadap keupayaan BN-PN memikul amanah pemerintahan.

Tiada mana-mana parti politik boleh menganggap mandat rakyat sebagai lesen untuk mengetepikan tanggungjawab terhadap negeri dan institusinya. Akhirnya, rakyat mempunyai hak untuk menilai dan menentukan pertanggungjawaban politik mereka melalui proses demokrasi.

Justeru, Pakatan Harapan Negeri Sembilan mendesak supaya semua pihak dalam BN-PN segera menghentikan pertelingkahan politik, menghormati proses perlembagaan dan memastikan pentadbiran kerajaan negeri kembali berfungsi dengan teratur. Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti politik.

Kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Besar wajib dihormati, keluhuran Undang-Undang Tubuh wajib dipertahankan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here