Pembaharuan pasport kini boleh dibuat menerusi aplikasi MyGOV Malaysia

URUSAN pembaharuan pasport kini boleh dilakukan menerusi aplikasi MyGOV Malaysia susulan penambahbaikan terbaharu platform perkhidmatan digital kerajaan itu menerusi versi 2.1.4.

Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kemudahan berkenaan membolehkan pengguna mengisi permohonan pembaharuan pasport, membuat pembayaran secara dalam talian serta memilih pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk pengambilan dokumen berkenaan.

“Melalui kemudahan ini, pengguna boleh menguruskan permohonan pembaharuan pasport, membuat pembayaran secara dalam talian serta memilih pejabat JIM bagi tujuan pengambilan pasport dengan lebih mudah dan pantas,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, bagi peringkat awal pelaksanaan, pengambilan pasport hanya disediakan di Pejabat Imigresen Shaftsbury, Putrajaya sebelum diperluaskan ke lokasi lain secara berperingkat oleh JIM.

Kemas kini aplikasi itu turut membabitkan penambahbaikan fungsi MyNotifikasi bagi membolehkan pengguna menerima maklumat dan hebahan kerajaan yang lebih bersasar berdasarkan keperluan masing-masing.

“Penambahbaikan ini membolehkan rakyat menerima maklumat dan hebahan terkini secara terus melalui aplikasi MyGOV Malaysia, termasuk pengumuman, program, inisiatif serta makluman penting daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan,” menurut kementerian itu lagi.

Selain itu, pengguna kini boleh menyemak lokasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti pusat kemudahan digital berhampiran.

Pusat NADI menyediakan pelbagai kemudahan dan program secara percuma kepada komuniti setempat, termasuk akses internet, pemeriksaan kesihatan serta program Tuisyen Rakyat.

Menurut Kementerian Digital, kemudahan itu turut menyokong usaha memperluas akses digital, meningkatkan literasi teknologi dan menyediakan peluang pembelajaran kepada masyarakat.

Orang ramai digalakkan mengemas kini aplikasi MyGOV Malaysia kepada versi terkini menerusi Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery bagi menikmati ciri dan kemudahan baharu berkenaan.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital melalui kerjasama rentas kementerian dan agensi demi merealisasikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia menuju ke arah Negara AI 2030,” kata kenyataan itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here