PERDANA Menteri, Datuk Anwar Ibrahim mahu pemberian bantuan awal persekolahan (BAP) bagi sesi persekolahan 2027 dibuat di sekolah bagi menggalakkan ibu bapa hadir menemui guru, sekali gus dapat membincangkan perihal pendidikan anak.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ibu bapa perlu ke sekolah anak untuk menerima bantuan itu, yang dinaikkan kepada RM200 tahun depan, berbanding RM150 sebelum ini bagi setiap murid.
“Sebab itulah saya beritahu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bahawa tahun depan, anak-anak akan dapat RM200. Tetapi, kita tidak serahkan wang itu ke rumah (bagi kes tertentu) kerana kita mahu ibu bapa datang sendiri ke sekolah berjumpa dengan guru-guru,’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Prakarsa Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara “AI Temu AI” di Putrajaya.
Anwar berkata, pihak sekolah disaran mengatur sesi pertemuan guru, murid dan ibu bapa bagi membolehkan guru berkongsi perkembangan serta tingkah laku murid di sekolah.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lalu mengumumkan BAP tahun depan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, membabitkan 5.3 juta penerima dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan ibu bapa tidak meletakkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik murid kepada pihak sekolah, sebaliknya mereka perlu memainkan peranan bersama guru dalam membentuk sahsiah dan disiplin anak-anak.
Tegasnya, pendidikan bukan sekadar proses menimba ilmu, sebaliknya bagi membentuk manusia baik, berdisiplin dan mempunyai nilai akhlak yang memerlukan kerjasama rapat antara ibu bapa dengan guru.
Beliau turut mengingatkan murid supaya menghargai pengorbanan ibu bapa, termasuk menunjukkan kasih sayang dan menghormati mereka.
Anwar meminta KPM memastikan setiap murid diberi judul buku untuk dibaca sepanjang cuti persekolahan bulan depan dengan sekurang-kurangnya dua buku perlu habis dibaca bagi memastikan budaya membaca terus dapat dipupuk meskipun ketika bercuti.
“Bulan Disember cuti. Saya nak minta Menteri Pendidikan, pastikan cuti ini, anak-anak mesti diberi judul buku yang wajib dibaca.”





