PERDANA Menteri Datuk Anwar Ibrahim sekali lagi memberi bayangan bahawa beliau tidak merancang mengadakan PRU lebih awal, dengan berkata kerajaan pimpinannya masih mempunyai ‘lebih setahun’ sebelum tamat penggal.
Ketika ditanya sama ada pentadbirannya masih mempunyai masa untuk melakukan lebih banyak perkara selepas empat tahun memegang tampuk pemerintahan, Anwar berkata kerajaan akan ‘melakukan yang terbaik dan meningkatkan prestasinya’
“Kita masih mempunyai lebih setahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program AI Temu AI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum ini berkata pembubaran Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu lebih baik berbanding rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai menteri pengangkutan.
Loke meletakkan jawatan pada 10 Nov berhubung isu tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penggal Dewan Rakyat semasa dijadual berakhir pada Disember 2027, melainkan dibubarkan lebih awal.
Ketika ditanya mengenai kedudukan Loke dalam Jemaah Menteri, Anwar mengulangi bahawa beliau masih belum menerima peletakan jawatan itu selain berkata ada bertemu dengan setiausaha agung DAP berkenaan baru-baru ini.
“Beliau memberikan alasannya. Saya menyuruhnya bercuti dahulu,” katanya.
Mengenai pengurusan tugas Kementerian Pengangkutan buat sementara waktu, Anwar berkata ketua setiausaha dan timbalan menteri kementerian itu boleh menyelianya.
Sementara itu dalam ucapan beliau, Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI akan terus berusaha menambah baik prestasi pentadbiran sepanjang baki tempoh lebih setahun sebelum berakhirnya penggal semasa.
Katanya, usaha itu akan terus diberi perhatian bagi memastikan prestasi kerajaan dapat ditingkatkan lagi.
“Insya-Allah kita akan buat sebaik mungkin dan kita perbaik prestasi kita. Kita ada setahun lebih lagi,” kata beliau.
Semalam, Anwar menzahirkan keyakinan bahawa Kerajaan MADANI berjaya membina asas lebih kukuh untuk Malaysia meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dan kedudukan kewangan negara yang terbatas.
Beliau berkata sepanjang empat tahun pentadbiran, kedudukan kewangan negara terus diperkemas, tatakelola diperbaik, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyifatkan perjalanan dalam tempoh itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun amanah perlu terus digalas dengan penuh kesungguhan serta menzahirkan kesyukuran kerana kerajaan bersama-sama membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia.





