Jangan kejar AI hingga lupa akar agama, budaya – Anwar

PENGUASAAN kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu tidak seharusnya menyebabkan generasi muda mengabaikan asas agama, akhlak serta jati diri dalam usaha menghadapi cabaran dunia moden.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan ilmu dan teknologi perlu bergerak seiring dengan pengukuhan nilai kemanusiaan supaya sistem pendidikan tidak hanya melahirkan individu cemerlang akademik, tetapi turut memiliki sahsiah dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan konsep ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’ yang menekankan kepentingan meneroka kemajuan tanpa melupakan asas kehidupan.

“Kita kekalkan asas pendidikan tradisional, tetapi kita tidak mahu anak-anak kita ketinggalan dalam dunia yang penuh persaingan ini.

“Penguasaan bahasa, kecerdasan, disiplin dan ilmu baharu termasuk AI perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu hari ini, lapor Harian Metro.

Anwar berkata, usaha meneroka pemikiran baharu, menguasai teknologi dan mengikuti perkembangan seperti AI serta peralihan tenaga perlu disertai pengukuhan akidah, akhlak, sahsiah, budaya tempatan dan bahasa.

Menurutnya, kecemerlangan akademik serta keupayaan menguasai teknologi tidak membawa makna sekiranya seseorang kehilangan nilai kemanusiaan dan tidak mempunyai keprihatinan terhadap penderitaan orang lain.

Sehubungan itu, beliau turut menekankan kepentingan menghidupkan tradisi keilmuan Islam menerusi pengajian kitab dan hadis, termasuk penganjuran majlis khatam kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan al-Tirmizi.

Beliau berkata, budaya membaca juga perlu diperkasakan kerana ia menjadi antara asas penting dalam membentuk masyarakat berilmu.

Anwar turut menggesa pihak sekolah supaya memastikan pelajar menggunakan musim cuti persekolahan dengan aktiviti berfaedah, termasuk menghafaz al-Quran, mengikuti pengajian agama dan membaca sekurang-kurangnya dua buku dalam tempoh tertentu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here