SEBANYAK 5,101 usahawan dan peniaga kecil di seluruh negara diluluskan menerima bantuan peralatan berjumlah RM14.99 juta menerusi Skim Usahawan Bangkit sejak Januari hingga Isnin lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu melibatkan sebahagian daripada 12,499 permohonan yang diterima kerajaan setakat ini.
Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan geran skim berkenaan sebanyak RM200 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluas usaha membantu usahawan meningkatkan kapasiti serta produktiviti perniagaan.
“Peruntukan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam usaha memperkasakan usahawan, terutamanya membabitkan golongan B40 dan peniaga kecil sebagai antara penggerak utama ekonomi rakyat.
“Kerajaan menyarankan usahawan dan peniaga kecil memberi penekanan kepada kepentingan pendigitalan bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit MADANI peringkat negeri di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu hari ini, lapor BH.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Mengulas potensi perusahaan tempatan, Anwar berkata, keunikan produk serta kegiatan ekonomi berasaskan marin dan pelancongan perlu dimanfaatkan sebagai sumber pertumbuhan yang mampu membuka peluang pasaran lebih luas.
Katanya, Terengganu mempunyai pelbagai produk tempatan yang berpotensi dikembangkan, termasuk songket, batik dan keropok lekor.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan RM1.04 juta kepada 380 usahawan dan peniaga kecil di seluruh negeri berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1.49 juta bagi kerja pembaikan infrastruktur dan kemudahan di 11 institusi pendidikan Islam di Terengganu.
Daripada jumlah itu, enam sekolah tahfiz terletak di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan bertujuan memperkukuh institusi pendidikan Islam selain memastikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif, selesa dan selamat.
“Peruntukan kepada institusi pendidikan Islam diluluskan seiring dengan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.





