KEJAYAAN kerajaan mengawal ketirisan dan mengurus kewangan negara secara berhemah membolehkan pelbagai bantuan kepada rakyat diteruskan, termasuk mengekalkan subsidi minyak meskipun menanggung kos sehingga RM40 bilion setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan Malaysia mengekalkan harga minyak pada paras rendah turut mendapat perhatian dan kekaguman pemimpin luar negara.
Beliau berkata, harga minyak rendah yang dinikmati rakyat bukan sesuatu yang diperoleh secara percuma, sebaliknya memerlukan komitmen kewangan besar daripada kerajaan.
“Kerajaan kena tampung kos subsidi sebanyak RM40 bilion setahun untuk pertahankan harga minyak.
“Bagaimana boleh kita tampung RM40 bilion ini, selain RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Sebab kita cermat dalam pengurusan kewangan. Kita elak daripada kecurian, bocor dan sebagainya,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu hari ini, lapor BH.
Dalam pada itu, Anwar mempersoalkan sikap segelintir pihak yang seolah-olah memandang ringan perbuatan mencuri apabila dilakukan individu berjawatan tinggi, sedangkan kesalahan sama dalam kalangan murid sekolah boleh mengundang tindakan disiplin.
Katanya, nilai akhlak dan adab yang diterapkan sejak di bangku sekolah perlu terus dipertahankan tanpa mengira kedudukan atau status seseorang dalam masyarakat.
“Inilah sebabnya mengapa bagi saya pendidikan itu sangat penting dan bukannya berkisar hanya pendidikan di sekolah semata-mata,” katanya.
Anwar turut menegaskan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerajaan apabila sektor berkenaan menerima peruntukan terbesar sepanjang empat tahun pelaksanaan Belanjawan MADANI.
Katanya, peruntukan pendidikan meningkat daripada RM66.2 bilion tahun lalu kepada RM69 bilion tahun ini, diikuti sektor kesihatan, pertahanan dan sektor lain.





