Ekonomi rakyat di lapangan, ada sesuatu tak kena…

Surat Terbuka kepada  Datuk  Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, dan Akmal Nasrullah  Mohd Nasir, Menteri Ekonomi

BAHAGIAN PERTAMA

Oleh: Shahbudin Embun

Saya menulis pandangan ini bukan untuk menafikan pencapaian kerajaan, bukan untuk mencetuskan keresahan, apatah lagi untuk menambah polemik politik yang tidak berkesudahan.

Sebaliknya, saya menulis atas rasa tanggungjawab sebagai seorang yang sering turun ke lapangan, berinteraksi dengan masyarakat, peniaga, pekerja, kontraktor, golongan profesional dan rakyat biasa. Ada sesuatu yang perlu kita perhatikan dengan lebih serius.

Ekonomi sesebuah negara tidak seharusnya dinilai melalui angka semata-mata. Ekonomi juga perlu dilihat melalui wajah rakyat, keadaan premis perniagaan, kuasa beli pengguna, peluang pekerjaan dan keyakinan masyarakat terhadap masa depan.

Laporan pertumbuhan ekonomi, pelaburan, kadar inflasi, eksport serta pelbagai indikator makroekonomi sememangnya penting. Namun, semua angka itu perlu dilengkapi dengan pemerhatian terhadap keadaan sebenar di lapangan.

Apabila rakyat mula mengeluh bahawa perbelanjaan semakin berat, apabila peniaga kecil semakin sukar bertahan, apabila graduan masih mencari pekerjaan yang sesuai dan apabila kontraktor tempatan merasakan peluang projek semakin berkurangan, maka suara-suara ini tidak boleh dianggap sebagai keluhan biasa.

Ia mungkin merupakan isyarat awal yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Suara peniaga kecil: Mereka paling cepat rasai tekanan

Dalam pemerhatian saya, terdapat peniaga kecil, pemilik restoran, pengusaha warung dan premis perniagaan yang mengakui keadaan perniagaan mereka semakin mencabar.

Ada premis kelihatan kurang pelanggan berbanding dahulu. Ada pengusaha terpaksa mengurangkan kos operasi. Ada yang berhadapan dengan kenaikan kos bahan mentah, sewa, utiliti, gaji pekerja dan pelbagai komitmen lain. Bagi sesetengah peniaga, keadaan ini bukan sekadar soal keuntungan yang berkurangan. Ia sudah menyentuh persoalan sama ada mereka mampu meneruskan perniagaan atau terpaksa menutup operasi.

Saya turut mendengar pandangan daripada kalangan peniaga masyarakat Cina di Pulau Pinang, khususnya di kawasan tanah besar, yang menggambarkan keadaan ekonomi perniagaan mereka sebagai semakin sukar.

Kita perlu memahami bahawa peniaga kecil adalah sebahagian daripada tulang belakang ekonomi negara. Mereka menyediakan pekerjaan, menggerakkan ekonomi setempat, membayar sewa, membeli barangan daripada pembekal dan menyumbang kepada rantaian ekonomi. Apabila perniagaan kecil semakin lemah, kesannya bukan hanya kepada pemilik perniagaan, tetapi turut menjalar kepada pekerja, keluarga, pembekal dan komuniti setempat. Justeru, kerajaan perlu melihat sektor ini dengan lebih dekat.

Pasar raya, restoran dan kuasa beli- petunjuk yang tidak boleh diabaikan

Dalam pemerhatian kehidupan seharian, keadaan premis perniagaan, jumlah pelanggan dan aktiviti pembelian juga boleh memberikan gambaran tertentu tentang sentimen pengguna.

Kita tidak boleh membuat kesimpulan tentang keseluruhan ekonomi negara hanya berdasarkan sebuah pasar raya, sebuah restoran atau satu kawasan tertentu. Namun, apabila pemerhatian serupa berulang di beberapa lokasi dan disertai keluhan rakyat, ia wajar menjadi bahan penelitian.

Persoalan yang perlu ditanya ialah: Adakah rakyat semakin berhati-hati berbelanja? Adakah mereka mengurangkan pembelian barangan bukan keperluan? Adakah keluarga semakin banyak menumpukan pendapatan kepada makanan, bil, pendidikan, pengangkutan dan komitmen hutang? Adakah peniaga mengalami penurunan jumlah pelanggan walaupun harga barangan dan kos operasi terus meningkat?

Inilah persoalan yang perlu dijawab melalui data yang lebih menyeluruh dan kajian lapangan yang bersungguh-sungguh. Kuasa beli rakyat adalah antara nadi utama ekonomi domestik. Jika nadi ini semakin lemah, kesannya akan dirasai oleh seluruh ekosistem perniagaan.

Graduan mengangur -keluarga terpaksa menanggung beban

Satu lagi isu yang cukup merisaukan ialah nasib graduan yang masih gagal mendapatkan pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka. Kita mempunyai anak muda yang telah menghabiskan bertahun-tahun di universiti, memperoleh diploma atau ijazah, tetapi masih berhadapan dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang stabil.

Lebih menyedihkan, sebahagian ibu bapa yang sudah berada dalam usia persaraan atau hampir bersara masih terpaksa menanggung anak-anak yang belum memperoleh pekerjaan tetap. Ada juga graduan yang akhirnya bekerja dalam bidang yang tidak berkaitan dengan kelayakan mereka, menerima gaji yang tidak sepadan dengan kos kehidupan atau terpaksa melakukan beberapa pekerjaan untuk menampung perbelanjaan.

Persoalannya, apakah makna pembangunan ekonomi jika anak-anak muda yang menjadi harapan masa depan negara masih sukar membina kehidupan sendiri?

Kita tidak boleh hanya meraikan jumlah graduan yang dilahirkan oleh institusi pendidikan. Kita perlu mengukur kejayaan melalui kemampuan graduan memperoleh pekerjaan, membina kerjaya, meningkatkan pendapatan dan mencapai kehidupan yang lebih baik. Pendidikan mesti menjadi jambatan kepada mobiliti sosial, bukan tiket kepada kekecewaan selepas tamat pengajian.

Kontraktor tempatan memerlukan perhatian

Saya turut mendengar keluhan daripada kontraktor tempatan, termasuk mereka yang beroperasi di Sabah dan Sarawak, mengenai keadaan projek dan peluang kerja yang semakin mencabar.

Dalam keadaan ekonomi yang memerlukan pengukuhan aktiviti domestik, kontraktor tempatan seharusnya diberikan peluang yang adil untuk mengambil bahagian dalam projek pembangunan, khususnya projek yang mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk mereka laksanakan.

Kita perlu memastikan projek pembangunan bukan sekadar menjadi angka dalam laporan, tetapi benar-benar menggerakkan ekonomi tempatan.

Apabila projek dilaksanakan, kesannya sepatutnya dirasai oleh:

  • ⁠ ⁠Kontraktor tempatan.
  • ⁠ ⁠Pembekal bahan binaan.
  • ⁠ ⁠Pekerja mahir dan tidak mahir.
  • ⁠ ⁠Pengusaha pengangkutan.
  • ⁠ ⁠Perniagaan kecil di sekitar lokasi projek.
  • ⁠ ⁠Keluarga yang bergantung kepada pendapatan sektor tersebut.

Jika aktiviti pembangunan tidak menghasilkan limpahan ekonomi yang mencukupi kepada masyarakat tempatan, maka pendekatan pelaksanaan dan pengagihan peluang perlu dinilai semula.

Pembangunan mesti memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi tempatan, bukan hanya menghasilkan bangunan serta angka perbelanjaan.

Bersambung esok:

*Penulis adalah penganalisis politik merangkap Pengerusi Biro Politik, Kepimpinan & Pentadbiran Kerajaan Majlis Perundingan Melayu (MPM)



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here