PENGERUSI Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Openg dipilih tanpa bertanding untuk penggal ke-11 sebagai ADUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Premier Sarawak itu memperoleh penggal kedua sebagai ADUN Gedong selepas menjadi satu-satunya calon yang dinamakan pada proses penamaan calon hari ini.
Abang Johari kali pertama dipilih sebagai ADUN Satok selepas memenangi pilihan raya kecil pada 1981. Beliau terus mempertahankan kerusi itu sehingga PRN 2021, apabila bertanding di Gedong.
Pada PRN 2021, komposisi pengundi di Gedong terdiri 61% Bumiputera Islam dan 37% Bumiputera bukan Islam.
Abang Johari, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebelum ini membayangkan penggal akan datang menjadi penggal terakhirnya dalam jawatan berkenaan, sambil menyatakan peralihan kepimpinan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam parti.
Beliau dilantik sebagai ketua menteri Sarawak pada 2017 susulan kematian penyandang terdahulu, Adenan Satem. Beliau secara rasmi bergelar premier selepas nama jawatan tertinggi negeri itu ditukar pada Februari 2022.





