Polis giat buru dalang utama sindiket dadah guna aset TUDM

POLIS  giat memburu dalang utama sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas suspek berjaya meloloskan diri ketika operasi tangkapan dijalankan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, identiti suspek yang dipercayai mengetuai sindiket itu sudah dikenal pasti, termasuk peranan setiap ahli dalam rangkaian berkenaan.

Katanya,  siasatan kini memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang terbabit selain menelusuri sumber bekalan dadah yang disalurkan ke negara ini.

“Apabila kita menjalankan siasatan, kita mengenal pasti pihak yang bertindak sebagai pembiaya, perancang utama, pengangkut (transporter), orang tengah (runner) serta individu yang berperanan menyelaras jaringan dengan pelbagai pihak. Semua peranan itu sudah dikenal pasti, sebab itu kita tahu siapa ketua sindiket berkenaan.

“Apabila siasatan menjurus kepada sumber bekalan, tidak sukar untuk kita menjangkakan bahawa sebahagian besar bekalan dadah ke negara ini masuk melalui laluan Segi Tiga Emas (Golden Triangle),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media  selepas merasmikan Program Jelajah Wira MADANI dan Santuni MADANI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Kupang, Baling, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan seorang lagi pegawai TUDM bersama empat individu awam ditahan dalam operasi khas JSJN Bukit Aman.

Penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang diberkas seramai 18 orang, termasuk lapan pegawai dan anggota TUDM.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin berkata prosedur kawalan serta pemeriksaan keselamatan di lokasi strategik berkaitan keselamatan turut dipertingkatkan.

Langkah itu bagi mengelakkan kemudahan terbabit disalahgunakan untuk kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan dadah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here