RAKYAT diminta meningkatkan kewaspadaan terhadap perkembangan aktiviti perisikan Israel di negara jiran yang dilaporkan meningkat sehingga tiga hingga empat kali ganda dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu perlu diberikan perhatian serius kerana kedudukan geografi negara yang berhampiran dengan kawasan terbabit mempunyai implikasi terhadap keselamatan Malaysia.
Beliau berkata, sudah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai perkembangan berkenaan bagi memastikan rakyat memahami potensi ancaman yang wujud di rantau ini.
Menurutnya, entiti yang mempunyai kaitan dengan Israel dipercayai turut memperoleh pemilikan tanah di beberapa lokasi di Thailand, termasuk Phuket, Bangkok dan kawasan selatan negara itu.
“Saya sudah meminta Majlis Keselamatan Negara memaklumkan kepada rakyat bahawa kegiatan Mossad Israel yang berpusat di negara jiran sangat aktif.
“Dalam tempoh tiga hingga empat tahun lalu, kekuatan mereka meningkat tiga hingga empat kali ganda.
“Ini bermakna kita perlu berwaspada. Kita mesti mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran supaya kita dapat menangani perkara ini bersama-sama, selain terus berwaspada bagi memastikan kekuatan negara sendiri terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Majlis Semarak Wakaf Perdana 2026 di Pulau Pinang, hari ini.
Perdana Menteri dalam kenyataan di Dewan Rakyat pada 3 November lalu pernah mendedahkan kegiatan badan perisikan asing, termasuk Israel, di negara berhampiran dikenal pasti agensi keselamatan Malaysia sebagai antara potensi ancaman kepada negara.
Ketika itu, beliau turut menyebut kewujudan penempatan warga Israel di Phuket dan selatan Thailand yang menjadi sebahagian daripada perkara dipantau pihak berkuasa.
Anwar sebelum ini turut memaklumkan kerajaan sedang memperkukuh kesiapsiagaan negara susulan ketegangan geopolitik antarabangsa, termasuk konflik Asia Barat serta ancaman serangan hibrid dan siber.
Mesyuarat khas MKN yang diadakan pada 2 November lalu turut meneliti kesan perkembangan keselamatan antarabangsa terhadap Malaysia, selain keperluan memperkemas penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan.
Kerajaan juga memberi perhatian kepada perlindungan sektor strategik negara, termasuk tenaga, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan, bagi memastikan sebarang ancaman luar tidak menjejaskan keselamatan serta kestabilan negara.





