Ekonomi kekal kukuh, Kerajaan MADANI terus utamakan kebajikan rakyat

KERAJAAN MADANI terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai dasar ekonomi, bantuan kewangan dan subsidi bersasar meskipun berdepan tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.

Keberkesanan pendekatan itu antara lain dapat dilihat menerusi peningkatan perbelanjaan penggunaan domestik pada suku ketiga tahun ini, yang mencerminkan kemampuan rakyat untuk terus berbelanja dalam keadaan ekonomi semasa.

Perkembangan berkenaan turut menggambarkan kesan langkah kerajaan memperkukuh pendapatan boleh guna rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk bantuan kewangan dan program mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah.

DATUK Seri Anwar Ibrahim

Dalam tempoh empat tahun pentadbirannya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperkenalkan tiga belanjawan yang memberi penekanan kepada kebajikan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pendekatan itu dilaksanakan ketika negara berdepan pelbagai cabaran luaran, termasuk peningkatan harga minyak dan makanan, kos pengangkutan serta kesan ketegangan geopolitik yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan antarabangsa.

Bagaimanapun, pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan itu tidak terlepas daripada kritikan dan serangan politik pihak pembangkang, termasuk menerusi media sosial yang kadangkala menenggelamkan maklumat mengenai manfaat dasar berkenaan kepada rakyat, lapor Bernama.

Bantuan dan subsidi terus diperkasa

Dalam usaha menangani tekanan kos sara hidup, kerajaan memperluas pelaksanaan program bantuan kewangan dan menambah baik mekanisme subsidi bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan terus mendapat perlindungan.

Antara inisiatif utama ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melengkapi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), khusus untuk membantu golongan B40 mendapatkan barangan keperluan harian.

Komitmen kerajaan terhadap agenda kebajikan itu turut diterjemahkan menerusi peningkatan peruntukan subsidi sebanyak 322 peratus kepada RM55.4 bilion berbanding RM13.1 bilion pada 2021, ketika pentadbiran terdahulu.

Peruntukan besar itu membolehkan kerajaan terus menampung sebahagian kos barangan dan perkhidmatan penting bagi mengelakkan kenaikan harga yang lebih membebankan pengguna.

Tekanan terhadap kos import negara pula semakin ketara susulan beberapa faktor, termasuk kenaikan tarif, harga minyak dunia serta caj penghantaran dan pengangkutan yang terjejas akibat sekatan di Selat Hormuz susulan konflik Asia Barat.

Dalam keadaan harga minyak mentah dunia yang pernah melepasi AS$100 setong, kerajaan masih mengekalkan bantuan subsidi bahan api bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga di pasaran antarabangsa.

Keadaan itu membolehkan rakyat Malaysia terus menikmati harga petrol dan diesel pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran, berbeza dengan beberapa negara lain yang berdepan gangguan bekalan sehingga menyebabkan pengguna terpaksa beratur panjang di stesen minyak.

Malah, meskipun Malaysia merupakan pengimport bersih minyak mentah, bekalan bahan api domestik berjaya dikekalkan menerusi pengurusan dan perancangan dasar yang mengambil kira kepentingan jangka panjang negara.

Pelaksanaan subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI, termasuk BUDI95 dan BUDI Diesel, juga menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan pengguna yang layak.

Pertumbuhan ekonomi kekal positif

Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan langkah memperluas bantuan kepada rakyat tidak menjejaskan kestabilan ekonomi dan keupayaan negara menjana pertumbuhan secara berterusan.

Keupayaan Malaysia mengekalkan momentum ekonomi dalam suasana perdagangan dunia yang tidak menentu, termasuk pelaksanaan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap pelbagai negara, menunjukkan daya tahan ekonomi domestik.

Ekonomi negara berkembang sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan tahunan antara 4.4 hingga 5.0 peratus.

Prestasi itu turut memperlihatkan kekuatan asas ekonomi negara ketika berdepan tekanan pasaran antarabangsa yang memberi kesan kepada banyak negara, terutama ekonomi yang bergantung kepada perdagangan dan eksport.

Walaupun perancangan ekonomi tidak dapat mengelakkan sepenuhnya kesan faktor luaran seperti perubahan tarif perdagangan AS, kerajaan dilihat terus berusaha memastikan persekitaran ekonomi domestik kekal stabil dan berdaya saing.

Daya tahan domestik pacu ekonomi negara

Ketahanan permintaan dalam negara, pertumbuhan sektor perkhidmatan serta prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) menjadi antara penyumbang utama kepada perkembangan positif keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Sebagai negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, prestasi eksport turut menjadi petunjuk penting terhadap kedudukan ekonomi Malaysia, dengan nilai eksport mencecah RM215.1 bilion pada September 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak daripada tangga ke-34 pada 2024 kepada kedudukan ke-23 pada 2025, sebelum berada di tangga ke-15 tahun ini.

Pencapaian itu selari dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI untuk membangunkan Malaysia sebagai negara maju yang memiliki ekonomi berdaya saing, inklusif dan mampan.

Pasaran pekerjaan negara juga menunjukkan perkembangan positif apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, iaitu paras terendah dalam tempoh 11 tahun.

Bagaimanapun, kerajaan tidak menjadikan pencapaian itu sebagai alasan untuk memperlahankan usaha memperluas peluang pekerjaan, sebaliknya meneruskan penganjuran karnival kerjaya, pameran pekerjaan dan program jelajah bagi menghubungkan pencari kerja dengan majikan.

Usaha memperkukuh keyakinan pelabur turut menjadi antara keutamaan pentadbiran Anwar bagi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelaburan asing, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi.

Antara perkembangan yang mencerminkan potensi itu ialah kelulusan sebanyak 117 projek pusat data di negara ini, dengan 55 daripadanya sudah mula beroperasi.

Pertumbuhan sektor pusat data yang pesat di Malaysia, sekali gus memperlihatkan potensi negara untuk menjadi antara hab digital utama di Asia Tenggara, selain mencerminkan usaha kerajaan menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here