Kerajaan tambah RM30 juta bagi pembangunan perumahan atas tanah wakaf – Anwar

KERAJAAN bersetuju menambah peruntukan RM30 juta bagi pembangunan perumahan di atas tanah wakaf di Pulau Pinang, menjadikan jumlah keseluruhan dana bagi projek berkenaan RM175 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan itu melengkapi peruntukan RM145 juta yang diluluskan kerajaan negeri bagi memastikan keluarga berpendapatan rendah turut berpeluang menikmati kediaman selesa.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, selepas empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, rakyat berhak menilai sejauh mana usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam memenuhi keperluan asas mereka.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Pulau Pinang kini menjadi antara pemacu industri semikonduktor negara, justeru kerajaan mahu anak-anak di negeri itu menguasai ilmu dan kemahiran untuk mereka bentuk cip sendiri.

Beliau berkata, pembangunan teknologi baharu perlu bergerak seiring pembentukan nilai murni dalam kalangan generasi muda, khususnya menghormati guru, ibu bapa serta rakan berlainan kaum dan agama.

“Kepada anak-anak, pesan saya mudah. Dalam keghairan tuntutan semasa untuk meneroka teknologi baharu, peliharalah adab dengan guru dan ibu bapa, serta belajarlah mengenal dan menghormati sahabat yang berlainan kaum dan agama.

“Inilah makna cetusan ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menegaskan kepentingan menjaga amanah menguruskan wang rakyat dengan memastikan ketirisan serta penyelewengan akibat rasuah dibanteras.

Katanya, setiap dana awam yang diselewengkan sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kemudahan sekolah, melengkapkan hospital serta membantu keluarga miskin dan memerlukan.

“Maka, amanah ini akan terus saya pertahankan selama mana nyawa dikandung badan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here