Pegawai imigresen didakwa 11 pertuduhan guna kedudukan peroleh suapan

SEORANG pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 11 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan bagi dirinya berhubung permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) melibatkan tiga syarikat milik saudaranya.

Berdasarkan semua pertuduhan itu, Noorhaslenda Zainal Abidin, 45, sebagai Pegawai Imigresen KP22 di Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen, didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan dengan mengesyorkan kelulusan permohonan RTK bagi syarikat Tok Tuan Enterprise, Tok Tuan 2 Enterprise dan Dyha Scarft.

Syarikat itu adalah milik saudaranya dan tertuduh mempunyai kepentingan terhadap perniagaan itu, lapor Bernama.

Noorhaslenda didakwa melakukan kesalahan itu di Unit RTK Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen, Putrajaya antara Mac hingga November 2023, mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan 16 Disember untuk sebutan kes dan membenarkan ikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan, selain perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruzaini Sarif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img