SELEPAS beberapa kali dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan, pegawai polis wanita yang sering menimbulkan kontroversi dan kini digantung tugas, Inspektor Sheila membuat tiga laporan polis kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa insiden membabitkan dirinya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan tiga laporan telah dibuat oleh wanita terbabit atau nama sebenarnya, Sheila Sharon Steven Kumar, 37.
Menurut beliau, laporan pertama yang dibuat wanita itu adalah berhubung ketidakpuasan hati terhadap tangkapan dijalankan terhadapnya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Laporan ini dirujuk kepada laporan asal untuk semakan menurut prosedur siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Fadil berkata, laporan kedua pula dikemukakan kerana wanita itu mendakwa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan.
“Hasil penelitian, kes itu diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action) sebelum dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya.
Menurut beliau, laporan ketiga dibuat kerana Inspektor Sheila tidak berpuas hati terhadap seorang peniaga makanan di bawah pokok ketapang.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai NOD (No Offence Disclosed) selepas semakan mendapati tiada elemen kesalahan,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video dalam media sosial memaparkan wanita itu didakwa menimbulkan kekecohan di sebuah gerai makan di ibu negara.
Dalam video berdurasi 43 saat itu memaparkan berlaku pertengkaran antara wanita terbabit dengan seorang lelaki dipercayai pemilik gerai berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Sheila Sharon didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kelmarin atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di hadapan sebuah restoran di ibu negara, minggu lalu.
Sheila Sharon bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Wanita itu telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berikutan beberapa kes lampau termasuk menghina anggota polis dan menggugut seorang wanita warga emas.
Selain kes pendakwaan terbaharunya minggu ini, Sheila Sharon mempunyai tiga kes lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Selayang.


