Generasi sekarang hanyalah letih dan lapar

Oleh Maryam WS

SEMASA kita kecil , kita berjalan riang di pasar raya bersama ibu bapa, mengikuti mereka menolak troli sambil membeli barang keperluan.

Kini, apabila kita meningkat dewasa dan menjana pendapatan sendiri, tiba-tiba setiap sen menjadi begitu berharga. Kita memilih potongan buah atau sumber protein yang paling murah agar tidak membebankan. Sebahagian besar gaji kita habis untuk sewa rumah atau tempat tinggal, dan bil pula perlu dibayar.

Malah, pergi bekerja untuk mencari duit pun memerlukan duit — petrol dan tol sahaja sudah mencecah ratusan ringgit setiap bulan. Kita menjadi akauntan diri sendiri, mata sentiasa melihat angka, mengira setiap ringgit yang keluar dari poket.

Sudah hilang waktu di mana barangan runcit bernilai RM76 boleh bertahan seminggu. Sekarang, sehari pun belum tentu cukup.

Masyarakat selalu mempersoalkan mengapa berlaku kemerosotan hubungan sosial dan keadaan mental generasi kini. Mungkin sebab kita hidup pada zaman di mana duit masuk seperti batu tetapi keluar seperti angin.

Keadaan ekonomi memaksa kita lebih obses mencari kestabilan kewangan, sampai kesihatan mental dan kewarasan menjadi korban.

Ibu bapa sanggup berlapar asalkan anak-anak tidak menangis kelaparan. Anak muda pula sanggup hulur wang kepada ibu bapa yang sudah bersara agar mereka dapat bertahan, walaupun diri sendiri kekeringan.

Persekitaran memaksa kita menjadi seperti piñata — digantung dan dipukul agar orang lain boleh rasa gembira. Generasi sekarang bukanlah “lemah”, tetapi hangus terbakar oleh inflasi dan hakikat bahawa telur pun sukar mampu beli.

Mereka letih bekerja terlalu keras, sering diganggu pada waktu rehat, namun akhirnya tidak mendapat apa-apa. Mereka murung kerana tidak dapat membawa keluarga pergi bercuti walau sekejap, sebab minyak pun sudah terlalu mahal.

Mereka bukan lemah — mereka cuma letih dan lapar.

*Penulis adalah penganalisis sosioekonomi

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img