RAKYAT Kelantan diminta bersabar dan tidak terburu-buru mendulang emas sehingga garis panduan serta syarat lengkap pemberian lesen dimuktamadkan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, walaupun kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan lesen mendulang emas kepada penduduk dan membenarkan aktiviti mendulang emas di tanah kerajaan, garis panduan serta syarat berhubung kaedah pemberian lesen itu masih di peringkat kajian.
“Buat masa ini, saya minta rakyat bertenang dan tunggu dulu. Lesen belum dikeluarkan dan kajian masih berjalan,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah Berjumlah RM300 juta antara Permodalan Kelantan (PKB) dan Maybank Investment Bank Berhad di sebuah hotel,di sini pada Jumaat.
Aktiviti mendulang emas di kawasan pedalaman Kelantan di Gua Musang, Jeli dan Tanah Merah mendapat perhatian umum hingga mendorong peningkatan jumlah jualan dulang emas dari kayu merbau.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Rohani Ibrahim menasihatkan orang ramai membuat pertimbangan matang jika mahu bergelar pendulang emas kerana ia memerlukan masa, tenaga, ilmu serta sanggup menghadapi cabaran.
Katanya, sekiranya sudah ada pekerjaan tetap, mereka tidak perlu meninggalkan rezeki yang ada.
“Jangan pula semua pakat tinggal kerja dan pergi mendulang emas. Bukan mudah hendak dapat emas, untuk kerja sampingan mungkin boleh,” katanya ketika Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska 2025 di Kota Darulnaim.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menghalang aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat.
“Cuma, sentiasa patuh nasihat pihak berkuasa terutama sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rohani turut mengingatkan orang ramai berwaspada ketika menjalankan aktiviti mendulang emas di sungai menjelang musim tengkujuh susulan risiko arus deras dan kepala air.
Kata beliau, keadaan cuaca tidak menentu menjadikan aktiviti mendapatkan wang sampingan dengan mendulang emas bertukar berbahaya.
“Kami faham mendulang emas sudah menjadi kebiasaan penduduk. Tetapi ketika musim tengkujuh, perlu lebih berhati-hati termasuk bagi mereka yang baru mencuba aktiviti ini,” katanya.
Rohani berkata, pengalaman banjir tahun sebelumnya menunjukkan pedalaman Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai berisiko tinggi mengalami aliran deras secara mengejut terutama di beberapa lokasi mendulang emas.


