
SELAIN portfolio Menteri Wilayah Persekutuan yang menjadi bualan ramai, turut menjadi perhatian ialah apabila Adam Adli berpindah daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini adalah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya (Melaka) daripada PKR. ‘Bos’ beliau selepas ini ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini ‘bos’ Adam adalah sekutunya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) iaitu Hannah Yeoh daripada DAP.
Bagaimanapun berbanding pelantikan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, perpindahan beliau ke Kementerian Pendidikan Tinggi ternyata ‘lebih panas’ apabila segelintir pemimpin parti gabungan PKR dalam kerajaan khususnya UMNO ‘mengusik’ Adam bahawa kini masa sesuai untuk meminta hutang PTPTN dihapuskan.
Sebenarnya, ‘usikan’ seumpama itu boleh saja, maklumlah sudah berkawan rapat tak kan nak usik mengusik tak boleh..betul tak? Lagipun apalah sangat kuasa yang ada kepada seorang timbalan menteri untuk melaksanakan sesuatu dasar di sesebuah Kementerian….tak ada kuasa apapun.
Perbezaan menteri dengan timbalan menteri ialah menteri adalah Ketua kementerian, pembuat keputusan dasar tertinggi manakala timbalan menteri adalah pembantu utama, tidak mempunyai kuasa penuh membuat dasar, tetapi memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dan komunikasi dasar.
Jadi yang boleh membuat keputusan untuk mansuh PTPTN adalah menteri bukannya timbalan menteri. Penulis yakin sahabat-sahabat Adam dalam UMNOpun faham perkara ini. Tambahan pula ada antara mereka pernah jadi timbalan menteri termasuk di Kementerian Pendidikan, walaupun dulu mereka taklah secemerlang manapun.
Penulis sendiri pernah berbual-bual dengan beberapa timbalan menteri sebelum ini termasuklah dengan kerajaan terdahulu. Ketika ditanya apa tugas mereka jawapannya sama sahaja, ‘’kita ikut apa menteri suruh buat’’.
‘Lebih trajis’ disebabkan perbezaan parti politik antara menteri dan timbalan menteri, ada menteri tidak beri apa-apa ‘tugasan menarik’ kepada timbalan menetri bimbang ia akan beri kelebihan kepada parti diwakili timbalan menteri.
Oleh itu penulis fikir tidak payahlah buang masa desak Adam hapuskan PTPTN, kalau setakat nak buat ‘lawak menjelang senja’ bolehlah. Tak ada untung apa-apapun, mungkin tujuan nak ingatkan orang bahawa Adam ni pejuang janji mahu mansuhkan PTPTN sampai berkhemah di Dataran Mereka. Tetapi Adam bukan menteri, Adam bukan Perdana Menteri, Adam hanyalah timbalan menteri.
Sepatutnya geng-geng UMNO yang dok desak, perli atau sindir Adam tu desaklah pemimpin UMNO untuk mansuhkan PTPTN, sebab UMNO kini dalam Kerajaan Perpaduan bukan pembangkang.
Suara BN-UMNO semakin kuat sebab ada 13 anggota Kabinet iaitu lapan menteri (tujuh daripada UMNO), lima timbalan menteri, lebih kuat daripada DAP yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak sebab DAP hanya ada lima menteri dan tujuh timbalan menteri.
Paling menarik Menteri Pendidikan Tinggi dipegang oleh UMNO melalui Zambry. Macam mana nanti kalau orang tanya, kenapa UMNO tidak hapuskan PTPTN sebab kuasa di tangan menteri parti itu? Tak kan UMNO nak jawab yang buat janji tu PH sedangkan kini sama-sama duduk dalam kerajaan?
Oleh itu Adam Adli tidak payahlah terganggu sangat dengan ‘usikan’ UMNO itu. Laksanakan tugas yang akan diberikan oleh Zambry yang penulis kenal sangat professional dalam menjalankan tugas sebagai menteri. Anggap sahaja ‘usik-usikan’ itu bagaikan ‘nyamuk yang sekali kala menganggu biarpun sudah tidur dalam bilik berhawa dingin’.


