PERUSAHAAN kasut dan pakaian sukan dari Jerman, Adidas, memohon maaf selepas kempen iklannya yang menampilkan bekas tentera Israel, Shalev Biton, mencetuskan kritikan dan seruan untuk memboikot jenama berkenaan.
Biton ditampilkan dalam promosi perkhidmatan Single-Shoe Service. Kaki kirinya terpaksa dipotong selepas mengalami kecederaan ketika berkhidmat dalam tentera Israel pada 2021.
Adidas mengakui kempen berkenaan mencetuskan reaksi negatif daripada orang ramai. Syarikat itu menjelaskan bahan promosi berkenaan dihasilkan oleh pasukan tempatan Adidas di Israel dan bukan sebahagian daripada kempen global syarikat.
“Kami menyedari bahawa imej yang digunakan dalam aktivasi tempatan baru-baru ini oleh pasukan tempatan telah menimbulkan kebimbangan dan reaksi keras.
“Kami tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa dan memohon maaf kepada mereka yang terkesan,” kata Adidas dalam satu kenyataan, menurut laporan Times of Israel.
Biton adalah antara 11 atlet kurang upaya yang ditampilkan dalam poster promosi yang dipasang di beberapa kedai Adidas di Israel.
Bagaimanapun, penyertaan Biton dalam kempen itu mendapat kritikan daripada aktivis pro-Palestin.
Mereka mempersoalkan keputusan Adidas menggunakan bekas tentera Israel dalam promosi yang memberi tumpuan kepada golongan yang kehilangan anggota badan, khususnya ketika jumlah rakyat Palestin yang mengalami amputasi akibat perang di Gaza terus meningkat.
Anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan pada Mei menunjukkan Gaza mencatatkan lebih 5,000 kes amputasi anggota badan akibat trauma serta lebih 22,000 kecederaan serius pada anggota badan sejak Oktober 2023.
Kanak-kanak dianggarkan merangkumi sehingga satu perempat daripada mereka yang mengalami kecederaan yang mengubah kehidupan.
Kritikan terhadap Adidas turut datang daripada beberapa tokoh awam, termasuk pelakon Sepanyol, Javier Bardem, yang menyeru pengguna memboikot syarikat berkenaan sebagai tanda bantahan terhadap kempen tersebut.
Adidas menjelaskan bahawa perkhidmatan Single-Shoe Service diwujudkan bagi menyokong keterangkuman dan membolehkan individu yang mempunyai perbezaan atau kehilangan anggota badan membeli hanya kasut yang diperlukan tanpa perlu membeli sepasang.
Perkhidmatan itu mula diperkenalkan Adidas di 23 negara Eropah pada Januari lalu. Pengguna boleh membeli hanya sebelah kasut pada harga 50 peratus daripada harga sepasang kasut di kedai atau premis milik Adidas.
Menurut syarikat itu, pembangunan program berkenaan dilakukan melalui rundingan dengan kumpulan dan organisasi yang mewakili golongan kurang upaya, termasuk ParalympicsGB.
Adidas berkata perkhidmatan Single-Shoe kini sedang diperluaskan ke beberapa wilayah termasuk Eropah, Asia dan Timur Tengah.
Program itu turut meliputi beberapa negara dan wilayah seperti Palestin, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lubnan, Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Mesir.
Syarikat berkenaan menegaskan pihaknya akan menilai maklum balas orang ramai dan memastikan program tersebut terus selari dengan nilai keterangkuman yang dibawanya.
“Adidas akan terus mendengar, belajar dan berusaha memastikan tindakan kami mencerminkan nilai keterangkuman yang kami junjung,” menurut syarikat itu.





