Adik Iqi terima Anugerah Pesakit Ikon Inspirasi 2025

PESAKIT kanak-kanak Cerebral Palsy (CP), Muhammad Emir Rizqi Mohd Fadli atau nama gelarannya Iqi hari ini menerima Anugerah Pesakit Ikon Inspirasi 2025 daripada Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Pengiktirafan itu diberikan atas ketabahan dan peningkatan ditunjukkan Iqi, 10, sepanjang hampir sedekad mendapatkan rawatan di HRC.

Apa yang menarik, Iqi menjadi penerima kanak-kanak pertama bagi anugerah berkenaan dan layak menerima plak penghargaan serta wang tunai RM100 hasil pengiktirafan diberikan.

Bapanya, Mohd Fadli Samad, 41, bersyukur dengan pengiktirafan diberikan dan menyifatkan ia penghormatan besar dan bermakna buat keluarganya.

Katanya, anugerah diterima anaknya itu bukan penamat tapi permulaan dan langkah baharu untuk melangkah lebih jauh ke hadapan.

“Jujurnya ia satu pemangkin semangat baharu untuk saya terus membantu Iqi untuk proses lebih baik dalam kehidupan sehariannya.

“Moga anugerah ini juga menjadi pemangkin semangat untuk rakan yang mempunyai anak CP kerana peluang dan ruang sentiasa terbuka.

“Perjalanan kami di dunia masih panjang lagi untuk latih dia sehingga dapat berdikari,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi dan Sepetang Bersama Ahli Lembaga Pelawat di Auditorium HRC di Kuala Lumpur hari ini, lapor Harian Metro.

Penganjuran majlis edisi keempat itu disempurnakan Pengarah HRC, Dr Faizul Nizam Abu Salim. Yang turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital, Azari Abu Adam.

Sementara itu, isterinya, Wani Mastura Hashim, 42, berharap, keadaan Iqi akan jadi lebih baik dan akan berusaha lagi dengan mengambil inisiatif demi kemajuan anaknya.

“Ini anugerah pertama buat Iqi, kami pun tak sangka kerana menyangka ada lagi yang lebih layak.

“Tapi kita anggap ia (anugerah) sebagai pemangkin untuk terus berjuang pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Faizul dalam ucapannya berkata, Anugerah Ikon Pesakit Inspirasi diberikan kepada Iqi kerana menunjukkan perkembangan kesihatan positif juga ketabahan sepanjang melalui proses rehabilitasi.

“Diharap anugerah itu jadi sumber motivasi dan inspirasi juga kepada pesakit lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kisah pengorbanan Mohd Fadli menjaga Iqi yang disahkan CP akibat mengalami komplikasi sewaktu dilahirkan.

Mohd Fadli mengambil keputusan untuk berhenti selepas lebih dua dekad berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana tiada siapa boleh menjaga Iqi kerana isteri, Wani Mastura perlu bekerja dan mempunyai masalah kesihatan akibat cakera tulang belakang teranjak atau tergelincir (slipped disc).

Keadaan itu menyebabkan Wani Mastura sukar menguruskan Iqi di rumah seorang diri.

Kini, Iqi bergerak dengan bantuan alat bantu bergerak atau walker walaupun pernah diramalkan doktor akan terlantar seumur hidup.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img